Budak mentah Brazil tak kenal bintang Jepun

Budak mentah Brazil tak kenal bintang Jepun

Houston: Dalam aksi persahabatan di Tokyo pada Oktober lalu, Brazil melepaskan kelebihan dua gol pada separuh masa pertama sebelum tewas 2-3 kepada Jepun.

Penyerang muda Brazil, Rayan yang berusia 19 tahun tidak berada dalam skuad ketika itu dan mengakui dia tidak begitu mengenali pasukan Jepun.

“Saya tidak tahu siapa pemain terbaik mereka,” kata Rayan ketika ditanya seorang wartawan Jepun.

“Saya perlu menonton rakaman video terlebih dahulu untuk mengetahuinya. Kami tahu Jepun adalah pasukan yang sangat kuat dan kami perlu bekerja keras serta memberikan segala-galanya untuk menewaskan mereka,” katanya lagi.

Skuad Selecao dijangka lebih berhati-hati apabila bertemu Samurai Biru pada pusingan 32 terbaik di Houston, awal pagi Selasa ini.

Antara pemain yang mungkin boleh disebut Rayan ialah Takefusa Kubo yang digelar ‘Messi Jepun’ atau penyerang Feyenoord, Ayase Ueda yang sudah meledak 18 gol bersama skuad kebangsaan.

Ueda dan Daichi Kamada masing-masing menjaringkan dua gol pada peringkat kumpulan, dengan Ueda turut menjadi penjaring gol kemenangan ketika Jepun menewaskan Brazil 3-2 pada aksi persahabatan Oktober lalu.

Bagaimanapun, Jepun tetap dianggap sebagai pasukan bukan pilihan menjelang perlawanan itu.

Mereka menamatkan saingan Kumpulan F di tempat kedua di belakang Belanda selepas mencatat satu kemenangan ke atas Tunisia dan dua keputusan seri.

Walaupun tidak memiliki sejarah gemilang seperti Brazil, Jepun berjaya layak ke pusingan kalah mati dalam tiga Piala Dunia berturut-turut dan empat daripada lima edisi terakhir, namun masih belum pernah melepasi pusingan 16 terbaik.

Jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu percaya pasukannya mempunyai peluang untuk mencipta kejutan.

“Untuk kebaikan bola sepak Jepun, saya fikir ini akan menjadi pengalaman yang sangat berharga.

“Kami percaya kami mempunyai peluang untuk menang dan berharap dapat melangkah lebih jauh ke pusingan seterusnya,” katanya menerusi penterjemah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top