Akui kelewatan, Jakoa Lipis hantar pulang mayat dua wanita Orang Asli

Akui kelewatan, Jakoa Lipis hantar pulang mayat dua wanita Orang Asli

LIPIS: Usaha untuk membawa pulang dua mayat wanita Orang Asli yang berada di Unit Forensik Hospital Lipis sedang dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Lipis setelah mendapat makluman tentang kematian itu semalam.

Pengarah Jakoa negeri, Johari Alwi berkata, berlaku kelewatan perkhidmatan penghantaran disebabkan kenderaan jenazah jabatan itu berada di Pekan.

“Jakoa Lipis berusaha dengan cuba mendapatkan bantuan daripada pihak lain namun disebabkan kematian dua wanita itu disebabkan jangkitan Covid-19 dan perlu dihantar ke kawasan pedalaman maka tidak ada pihak yang sanggup membantu.

“Dalam hal ini, kakitangan Jakoa Pahang sudah dimaklumkan perkara tersebut serta arahan daripada Pejabat Pengarah Negeri supaya kenderaan jenazah daripada Jakoa Pekan akan bergerak segera ke Hospital Lipis, namun disebabkan tugasan lain berlaku sedikit kelewatan,” katanya di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan tentang kisah dua suami wanita Orang Asli yang meninggal dunia di Hospital Lipis buntu kerana ketiadaan kenderaan untuk menghantar mayat isteri mereka pulang ke Kampung Sinderut dan Kampung Lenjang, Ulu Jelai untuk pengebumian.

Dua lelaki Orang Asli berkenaan mengalami tekanan dan sedih sambil mendakwa ketiadaan kenderaan pihak berwajib untuk menghantar mendiang isteri masing-masing yang masih berada di Unit Forensik hospital tersebut pulang ke kampung.

Mengulas lanjut, Johari berkata, kenderaan jenazah milik jabatan itu di Pekan perlu diservis terlebih dahulu kerana jarak perjalanan ke Ulu Jelai jauh dan hanya boleh bergerak ke Lipis pada hari ini.

“Pihak Jakoa sebenarnya maklum serta cakna masalah yang dihadapi oleh waris berkenaan dan urusan penghantaran kedua mayat itu ke kampung maisng-masing segera dilakukan apabila kenderaan berkenaan tiba di Lipis.

“Jakoa sentiasa bersedia untuk membantu menguruskan penghantaran jenazah sekiranya diperlukan walaupun di mana lokasi penghantaran malahan ribuan jenazah masyarakat Orang Asli telah dihantar pulang ke lokasi yang diminta sebelum ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, ada ketikanya, kakitangan Jakoa sendiri menguruskan penghantaran mayat ke lokasi malah menguruskan sehingga ke peringkat proses pengebumian.

Menurutnya, pihak Jakoa menganggap berlaku salah faham disebabkan penyampaian maklumat yang kurang difahami oleh waris mendiang yang sedang dalam keadaan kesedihan dan tertekan kerana kematian isteri.

“Jenazah dijangka akan dibawa masuk ke pos pedalaman Kampung Senderut dan Kampung Lenjang esok (Jumaat) dan akan diuruskan sebaiknya sehingga selesai pengebumian,” katanya.

Ujarnya, beliau meminta supaya semua pihak tidak membuat. spekulasi dan sentiasa mendapatkan maklumat yang tepat. – UTUSAN