Akui Ramai Cuba Dekati, Ira Kazar Mahu Cari Pasangan Bijak Tangani Konflik – “Bukan Orang Dalam Industri, Tapi Ada Status”

Akui Ramai Cuba Dekati, Ira Kazar Mahu Cari Pasangan Bijak Tangani Konflik – “Bukan Orang Dalam Industri, Tapi Ada Status”

Walaupun tidak putus ada yang cuba mendekati, bekas isteri pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar mengakui hatinya masih belum terbuka sepenuhnya untuk menerima mana-mana lelaki sebagai pasangan hidup.

Menurut Ira atau nama sebenarnya, Faghira Fatini Kazaruddin, 31, kini lebih berhati-hati dan selektif, malah meletakkan kematangan dalam mengendalikan konflik sebagai kriteria utama.

“Bagi saya, lelaki itu kena bijak dan tahu kawal situasi, terutama bila berdepan konflik. Itu yang paling penting.

“Rupa bukanlah keutamaan, cukuplah sedap mata memandang. Kalau boleh saya lebih selesa dengan orang biasa, bukan dalam industri, tapi ada status juga,” katanya.

Menurut anak kepada pelakon senior, Kazar Saisi itu, meskipun ada individu yang cuba mendekati, namun setakat ini belum ada yang benar-benar sesuai untuk dijadikan pasangan hidup.

“Kalau sekadar berkenalan memang ada, tapi nak ke arah lebih serius itu belum lagi. Kalau saya kata ramai, nanti orang cakap angkat bakul sendiri. Jadi saya cakap ada sahajalah,” katanya.

Ira berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka ASIA di Studio 38, Petaling Jaya, pada Sabtu.

Tambahnya, dia tidak menolak soal jodoh, namun mengakui belum memberi fokus sepenuhnya ke arah itu buat masa ini.

“Saya tak menolak, cuma belum terlalu fokus. Mungkin belum sampai jodoh,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ira menegaskan dia tidak serik untuk kembali berumah tangga, sebaliknya pengalaman lalu menjadi pengajaran untuknya lebih berhati-hati.

“Saya tak serik sebab setiap manusia berbeza. Tak boleh anggap semua lelaki sama. Cuma sekarang saya lebih teliti, terutama dalam menilai latar belakang.

“Dulu mungkin saya lebih terbuka menerima kekurangan, tapi sekarang saya akan pertimbangkan sebaiknya,” katanya.

Untuk rekod, Ira pernah berkahwin dengan pengarah dan pelakon Syamsul Yusof pada 6 Januari 2023 di Selatan Thailand sebelum mendaftarkan perkahwinan mereka di Perlis, pada 20 Januari tahun sama.

Bagaimanapun, perkahwinan itu berakhir dengan perceraian pada 5 September 2024.

Sebelum itu, Syamsul pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Puteri Sarah Liyana pada 8 Mac 2014 sebelum berpisah pada 14 Jun tahun lalu.

Scroll to Top