Kompleks Akademi Al Bayan yang berperanan sebagai pusat pendidikan khusus bagi anak-anak mualaf bakal diperkasa dengan elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kecerdasan buatan (AI) dalam modul pembelajarannya.
Usaha ini diumumkan dalam majlis penyerahan zakat kepada asnaf di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim di Masjid Al-Junid, Kampung Chinchin, Ahad lalu.
Majlis itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar, yang juga Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Melaka.
Pengerusi Pertubuhan Akademi Al Bayan, Dr Nur Muhammad Hadi Zahalan berkata, kompleks tiga budaya itu kini sudah mencapai 70 peratus kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2026.
“Kami menjangkakan kira-kira 200 pelajar akan memulakan pengajian pada fasa pertama awal tahun hadapan.
“Dalam perancangan, kami turut memberi tumpuan kepada penerapan elemen AI ke dalam silibus utama selari dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya.
Katanya, Akademi Al Bayan bukan sekadar institusi tahfiz tetapi juga pusat pembelajaran yang melengkapkan pelajar dengan kemahiran TVET.
“Anak-anak tahfiz bukan hanya menghafal al-Quran tetapi juga didedahkan kepada teknologi moden.
“AI menjadi cabang penting dalam sistem pendidikan masa kini dan kami mahu memastikan pelajar kami turut bersedia menghadapi dunia yang semakin berorientasikan teknologi,” katanya.
Sementara itu, Khaidirah menyatakan sokongan penuh kerajaan negeri dalam usaha memperkasa TVET di Akademi Al Bayan.
“Kerajaan negeri Melaka membuka pintu seluas-luasnya kepada Akademi Al Bayan bagi menjayakan agenda TVET.
“Penubuhan kompleks akademi ini bukan sahaja menjadi yang pertama seumpamanya di Malaysia, malah bakal menjadi kompleks tahfiz terbesar di Asia Tenggara,” katanya.
Dalam majlis sama, seramai 235 asnaf dan 15 mualaf dari 10 kariah di DUN Rim menerima bantuan dalam bentuk keperluan asas serta wang tunai.
Hadi turut memaklumkan bahawa kompleks yang bakal dibina di Kampung Pegoh, Alor Gajah ini akan diiktiraf sebagai destinasi ‘Islamic Tourism’ dengan sokongan Exco Pelancongan Negeri Melaka.
“Kami mahu memastikan akademi ini bukan hanya menjadi pusat pembelajaran, tetapi juga pusat penyebaran ilmu Islam bertaraf antarabangsa,” tambahnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




