
Trump pasang angan-angan Mat Jenin untuk melihat Amerika menjuarai Piala Dunia kali ini. FOTO: Agensi
DONALD Trump mencuri perhatian selepas membuat kenyataan berani bahawa asukan kebangsaan Amerika Syarikat (AS) mampu menjuarai Piala Dunia FIFA 2026, walaupun ramai melihatnya sebagai sasaran yang agak sukar dicapai.
Presiden AS ke-47 itu dilaporkan menyampaikan mesej penuh keyakinan kepada pengurus Mauricio Pochettino sebelum perlawanan pembukaan Kumpulan D yang menyaksikan skuad Uncle Sam menewaskan Paraguay 4-1.
“Awak jurulatih yang hebat. Saya rasa awak ada peluang yang sangat baik untuk melangkah jauh hingga menjadi juara,” kata Trump, dalam mesej yang kini tular dan menjadi perbualan hangat peminat bola sepak.
Kenyataan itu segera menarik perhatian kerana AS masih belum dianggap antara pasukan pilihan utama untuk menjuarai kejohanan tersebut, meskipun beraksi sebagai tuan rumah bersama.
Di sebalik kenyataan Trump itu, beliau sebenarnya memilih untuk tidak menghadiri perlawanan pembukaan antara AS dan Paraguay di Stadium Los Angeles.
Sebagai rekod, Pochettino sebelum ini dikenali sebagai pengurus berkaliber tinggi selepas kejayaan bersama Tottenham Hotspur, selain memenangi trofi utama bersama Paris Saint-Germain dan pernah membimbing Chelsea.
Cabaran kali ini dianggap sebagai pengalaman baharu yang menarik buat jurulatih dari Argentina itu, namun beberapa pasukan lain dilihat lebih menjadi pilihan untuk menjuarai Piala Dunia kali ini.
Sepanyol dijangka menjadi pasukan pilihan diikuti Perancis, England, Brazil dan juara bertahan Argentina sebagai pencabar utama.



