am@hmetro.com.my
Kluang: Alasan mahu menghantar ubat digunakan seorang lelaki berstatus suami orang untuk menemui seorang janda di sebuah bilik hotel di sini, gagal menyelamatkan mereka daripada ditahan kerana berkhalwat semalam.
Tangkapan ke atas lelaki dan wanita berusia 30-an itu dilakukan oleh pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) pada jam 11.50 malam.
Menurut JAINJ, ketika tangkapan dilakukan, lelaki itu memberitahu dia datang ke bilik hotel terbabit kerana mahu menghantar ubat kononnya teman wanitanya kurang sihat.
“Hasil soal siasat mendapati mereka bukan pasangan suami isteri. Lelaki itu memberi alasan datang ke hotel berkenaan selepas wanita terbabit memaklumkan dirinya kurang sihat dan meminta bantuan membelikan ubat
“Bagaimanapun, alasan itu tidak munasabah dan penguat kuasa menahan pasangan itu untuk siasatan. Mereka ditahan kerana didapati berdua-duaan dalam bilik hotel berkunci tanpa ikatan sah,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
JAINJ berkata, pemeriksaan mendapati tempahan bilik itu didaftarkan atas nama wanita sebelum lelaki berkenaan datang pada waktu malam.
“Pelbagai alasan diberikan termasuk mendakwa terpaksa menginap di hotel kerana rumahnya tidak mempunyai pendingin hawa berikutan cuaca panas ketika ini.
“Pasangan itu ditahan untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
