Evolusi kerusi urut AI bantu pertingkat prestasi pemulihan

Kuala Lumpur : OGAWA Malaysia, jenama kerusi urut terkemuka Asia mengambil peluang daripada kecerdasan buatan (AI) dalam usaha menggabungkan teknologi terkini bagi pemulihan prestasi dan kecergasan dalam menerokai kesihatan pintar.

Menurut Pengarah OGAWA Malaysia, Leong Boon Hong, inisiatif itu hadir ketika pengguna berdepan waktu bekerja panjang, tahap tekanan lebih tinggi serta rutin senaman yang semakin mencabar.

Katanya, perubahan teknologi itu menjadikan pemulihan individu semakin setara kepentingannya dengan prestasi dan kecergasan sebagai sebahagian daripada rutin kehidupan seharian.

“OGAWA melihat Biohacking sebagai satu pendekatan yang membolehkan individu memainkan peranan lebih aktif dalam memahami tubuh badan serta mengurus kesihatan diri, berbanding hanya mendapatkan pemulihan apabila mereka berasa terlalu letih.

“Pemulihan adalah sebahagian daripada prestasi kerana sekiranya kita mahu mencapai prestasi lebih baik esok, penggguna perlu mendapatkan pemulihan yang lebih baik hari ini,” katanya dalam satu kenyataan sempena majlis pelancaran produk terbaharunya, OGAWA Maestro Powered by Overseer yang menggabungkan teknologi urutan dengan AI Overseer dan teknologi graphene di sini hari ini.

Majlis itu turut menyaksikan kehadiran dua atlet legenda negara iaitu bekas ratu skuasy, Datuk Nicol David dan jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang pada sesi temu mesra.

Biohacking sebelum ini banyak dikaitkan dengan atlet elit dan peminat teknologi namun konsep itu kini mendapat perhatian lebih meluas apabila pengguna mencari kaedah praktikal untuk meningkatkan kualiti tidur, mengurus tekanan, memulihkan badan selepas aktiviti fizikal serta mengekalkan kesihatan secara keseluruhan.

Boon Hong menambah, berbeza dengan kerusi urut konvensional yang bergantung terutamanya kepada program dan tahap intensiti yang telah ditetapkan, Maestro Powered by Overseer direka untuk memberikan pengalaman lebih peribadi berdasarkan keadaan fizikal dan keperluan pengguna.

Kata beliau, teknologi itu juga dicipta untuk membantu menyesuaikan pengalaman urutan mengikut keperluan individu, selaras dengan kepercayaan OGAWA bahawa kesihatan perlu lebih responsif terhadap pengguna.

Menurutnya, teknologi graphene pula yang merupakan satu lagi komponen utama menghasilkan sinaran inframerah jauh (FIR) sebagai sebahagian daripada pendekatan berorientasikan pemulihan.

“Teknologi itu bertujuan menyokong aspek termasuk pemulihan otot, peredaran darah serta proses regenerasi semula jadi tubuh apabila digabungkan dengan fungsi urutan kerusi berkenaan.

“Ia sebahagian daripada usaha lebih luas OGAWA untuk menggabungkan bahan dan teknologi termaju ke dalam produk yang secara tradisinya dikaitkan dengan relaksasi.

“Secara ringkas, biohacking adalah mengenai penggunaan sains, teknologi dan pemahaman yang lebih baik mengenai tubuh badan kita untuk mengoptimumkan proses pemulihan kerana gabungan AI Overseer, graphene dan teknologi urutan menjadi asas kepada pendekatan OGAWA terhadap apa yang disifatkannya sebagai kesihatan pintar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top