am@hmetro.cim.my
Kuala Terengganu: “Saya guna dekat-dekat saja, dalam kampung.” Itu antara alasan paling kerap diberikan warga asing yang ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu kerana memandu tanpa lesen dalam Ops PEWA (Pemandu Warga Asing) yang dijalankan sejak 1 Jun lalu.
Pengarah JPJ Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata, alasan berkenaan seolah-olah sudah menjadi ‘skrip biasa’ yang turut digunakan segelintir warga asing apabila ditahan atas kesalahan jalan raya.
Katanya, alasan itu tidak boleh diterima kerana risiko kemalangan tetap wujud walaupun pemanduan hanya dilakukan di kawasan berhampiran rumah atau tempat kerja.
“Kesalahan paling banyak dikesan ialah memandu tanpa lesen selain kenderaan tidak mempunyai insurans dan Lesen Kenderaan Motor (LKM).
“Apabila ditahan, ada yang memberi alasan mereka hanya menggunakan kenderaan dalam kampung atau untuk perjalanan jarak dekat,” katanya pada sidang media Ops PEWA di sini, hari ini.
Mohd Zamri berkata, sepanjang operasi yang berlangsung sehingga hari ini, sebanyak 114 kenderaan diambil tindakan dan disita dengan 559 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Daripada keseluruhan 114 individu yang diambil tindakan, seramai 93 adalah warga Myanmar, menunjukkan peratusan yang tinggi dalam kalangan warga negara itu.
“Kesalahan paling kerap dikesan ialah memandu tanpa lesen selain membabitkan kenderaan tanpa LKM dan insurans sah,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut bimbang dengan sikap segelintir pemilik tempatan yang menyewakan atau meminjamkan kenderaan kepada warga asing sehingga membolehkan mereka bergerak bebas di jalan raya.
“JPJ akan terus memperhebat operasi dan mengambil tindakan tegas bukan sahaja terhadap pemandu, malah pemilik kenderaan yang didapati membenarkan kesalahan ini berlaku,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




