am@hmetro.com.my
Kulai: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan pasangan kekasih selepas disyaki berkhalwat dalam pemeriksaan berkala di sebuah hotel di daerah ini, semalam.
Pasangan tempatan berusia lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira sejam selepas menyewa bilik hotel berkenaan untuk tempoh tiga jam.
JAINJ dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan dilakukan penguat kuasa di hotel berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari.
Menurutnya, sebaik tiba di bilik berkenaan, penguat kuasa mengetuk pintu sebelum dibuka lima minit kemudian oleh seorang lelaki.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang wanita berada di dalam tandas bilik itu.
“Soal siasat awal mendapati pasangan berkenaan bukan suami isteri dan bekerja di daerah ini,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Menurut JAINJ, pasangan itu memaklumkan mereka menyewa bilik hotel berkenaan selama tiga jam bermula jam 11 pagi dan mereka bertemu ketika lelaki terbabit keluar pada waktu rehat kerja manakala wanita itu dijadual masuk bekerja pada jam 3 petang.
“Pasangan ini berkenalan sejak enam bulan lalu di tempat kerja wanita berkenaan dan mempunyai perancangan untuk bernikah, tetapi belum ada persiapan lagi kerana masing-masing baru bekerja,” katanya.
Mengulas lanjut, JAINJ berkata, ketika ditanya apa yang mereka lakukan di hotel berkenaan, pasangan itu memberi alasan hanya tumpang mandi sementara mahu keluar makan di sebuah pasar raya berhampiran.
Katanya, pasangan itu kemudian ditahan kerana berkhalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




