ATM tubuh Task Force Anti Buli, perkukuh disiplin, tatakelola organisasi

ATM tubuh Task Force Anti Buli, perkukuh disiplin, tatakelola organisasi

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil langkah tegas menubuhkan Task Force (TF) Anti Buli ATM sebagai langkah membenteras gejala itu dalam institusi pertahanan negara.

Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan Markas ATM dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah drastik itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh budaya profesionalisme, disiplin dan tatakelola dalam organisasi itu.

Inisiatif yang diilhamkan Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Malek Razak Sulaiman itu selaras dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung beliau yang menekankan kepentingan memperkukuh sistem pengurusan organisasi, integriti serta kesejahteraan warga ATM secara menyeluruh.

“PAT menegaskan budaya buli tidak boleh dikompromi kerana ia bukan sahaja menjejaskan disiplin dan moral anggota, malah berpotensi memberi implikasi terhadap kesiapsiagaan operasi, keberkesanan pemerintahan serta imej institusi pertahanan negara,” menurut kenyataan itu.

Penubuhan TF itu bertujuan melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap situasi semasa dan trend kes buli dalam ATM termasuk menilai keberkesanan dasar, prosedur operasi standard (SOP), mekanisme pelaporan serta langkah penguatkuasaan sedia ada bagi mengenal pasti kelemahan sistemik dan ruang penambahbaikan.

“Bagi memastikan pemantauan yang berkesan, TF Anti Buli ATM menghimpunkan wakil daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan tentera, iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Pendekatan bersepadu ini penting bagi memastikan setiap tindakan pencegahan, pemantauan dan pengendalian kes dapat dilaksanakan dengan lebih terselaras, sistematik dan berkesan pada semua peringkat organisasi,” menurut kenyataan itu.

Sebagai langkah awal, TF itu sedang melaksanakan analisis menyeluruh terhadap data dan statistik kes buli dari 2022 sehingga April 2026 bagi mengenal pasti trend semasa, faktor penyumbang serta cabaran pengurusan pada peringkat unit dan formasi.

Usaha membanteras gejala itu turut diperkasakan menerusi lawatan lapangan bersasar ke unit yang dikenal pasti mempunyai risiko tinggi bagi memastikan tindakan intervensi dan pemantauan dapat dilaksanakan secara lebih holistik dan berfokus.

Selain itu, ATM juga sedang membangunkan Pelan Tindakan Strategik Anti-Buli ATM yang akan berfungsi sebagai panduan komprehensif dalam memperkukuh struktur pelaporan, pemantauan, penguatkuasaan dan tindakan pencegahan secara berterusan.

“Pelan itu dijangka memperkemas mekanisme pengurusan disiplin sedia ada demi memastikan persekitaran perkhidmatan yang lebih selamat, profesional dan kondusif untuk seluruh warga ATM.

“Bagi memastikan setiap aduan dapat disalurkan dengan selamat dan telus, ATM menyediakan beberapa saluran rasmi untuk kegunaan anggotanya termasuk talian telefon khas, e-mel rasmi, Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) ATM, surat rasmi dan aduan secara bersemuka melalui Bahagian Inspektorat Jeneral ATM,” menurut kenyataan itu.

ATM memberi jaminan setiap aduan yang diterima akan diteliti dan diuruskan secara profesional tanpa kompromi terhadap sebarang pelanggaran disiplin.

Institusi pertahanan negara itu menegaskan komitmennya untuk memastikan budaya profesionalisme, integriti dan kepimpinan sihat terus menjadi teras kekuatan organisasi, selaras dengan aspirasi memperkukuh ATM sebagai sebuah institusi yang berwibawa, dihormati dan diyakini rakyat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top