Bengaluru: Carlos Alcaraz akan turun ke Wimbledon dengan misi mengekalkan dominasinya dalam tenis lelaki apabila memburu gelaran ketiga berturut-turut di All England Club, sambil pencabar utama Jannik Sinner datang ke London untuk membalas dendam selepas tewas dalam final epik Terbuka Perancis.
Juara tujuh kali, Novak Djokovic pula tampil dengan semangat baharu dalam usahanya memburu gelaran Grand Slam ke-25, meskipun pada usia 38 tahun dan selepas dua kekalahan berturut-turut kepada Alcaraz di pentas final Wimbledon.
Bintang muda Britain, Jack Draper bakal memikul harapan tuan rumah selepas persaraan Andy Murray, manakala Alexander Zverev dan Taylor Fritz masih memburu gelaran Grand Slam pertama mereka untuk menamatkan dominasi Alcaraz dan Sinner sejak dua tahun lalu.
Kemenangan Alcaraz di Paris yang juga final Terbuka Perancis terpanjang sejak era profesional 1968 membolehkan pemain Sepanyol itu terus mempertahankan kejuaraannya.
Dia dan Sinner kini memenangi tujuh daripada lapan Grand Slam terakhir.
Jika berjaya meraih hatrik, Alcaraz bakal menyertai kelompok legenda termasuk Bjorn Borg, Pete Sampras, Roger Federer dan Djokovic sebagai hanya lima pemain era Terbuka yang memenangi Wimbledon tiga tahun berturut-turut.
Walaupun peralihan dari gelanggang tanah liat ke rumput agak mencabar, Alcaraz tetap menyerlah dengan gayanya yang unik.
Juara lima kali Grand Slam itu mengakui rumput memberi ‘nikmat dan penderitaan’ dalam masa sama.
“Ia segala-galanya sekali – sukar, menyeronokkan, mencabar. Kita tak banyak bermain di atas rumput setiap tahun jadi setiap perlawanan adalah peluang untuk belajar,” kata Alcaraz yang memenangi kejuaraan Queen’s Club dan kini memiliki rekod 29-3 di atas rumput.
Sinner pula lebih berjaya di gelanggang permukaan keras, namun masih bergelut di atas rumput.
Pemain nombor satu dunia itu tersingkir awal di Halle selepas tewas kepada Alexander Bublik dan belum menemui sentuhannya menjelang Wimbledon.
Pemain berusia 23 tahun itu, yang pernah digantung tiga bulan musim ini akibat pelanggaran doping, berkata, dia perlukan masa untuk pulihkan fizikal dan mentalnya selepas tewas lima set kepada Alcaraz di Paris, termasuk mensia-siakan tiga mata kejuaraan.
Djokovic, yang tidak beraksi dalam sebarang kejohanan pemanas badan, tetap menjadi ancaman besar di London.
Semangat untuk menyamai rekod Federer lapan kejuaraan Wimbledon dan memintas pencapaian 24 Grand Slam Margaret Court memberi dorongan besar.
“Saya akan lakukan apa saja untuk bersedia. Wimbledon dan gelanggang keras pantas seperti Australia mungkin peluang terbaik saya menambah satu lagi Grand Slam,” kata Djokovic.
Turut menjadi pencabar utama ialah Zverev, yang tiga kali gagal dalam final Grand Slam dan kini semakin terdesak untuk merangkul kejuaraan besar.
Fritz pula hadir dengan keyakinan tinggi selepas memenangi gelaran Stuttgart.
Daniil Medvedev (naib juara di Halle) serta Bublik pemain dengan gaya tidak konvensional yang mengalahkan Sinner minggu lalu, turut boleh mencipta kejutan dalam dua minggu mendatang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




