Alcaraz cukup sempurna – Sinner

Alcaraz cukup sempurna – Sinner

London: Persaingan luar biasa antara Jannik Sinner dan Carlos Alcaraz menjadi tulang belakang kepada kejohanan ATP sejak dua musim lalu.

Alcaraz dan Sinner kini jelas dua pemain terbaik di Jelajah ATP, dengan kedua-duanya berkongsi gelaran lapan Grand Slam.

Mereka sudah bertemu enam kali di Jelajah ATP, dengan Alcaraz menang empat kali dalam enam pertembungan menentang pemain Itali itu.

Sinner mendedahkan gaya permainan Alcaraz adalah yang paling sukar untuk ditangani setiap kali mereka beraksi.

Di luar gelanggang, Sinner dan Alcaraz adalah rakan baik dan sering memuji satu sama lain dalam beberapa temu bual.

Pemain Itali itu meneruskan pujian apabila berkongsi cabaran terbesar yang dihadapinya ketika menentang bintang Sepanyol berkenaan.

Bercakap kepada Tennis Korea, Sinner berkata: “Pertama sekali, dia hampir tiada kelemahan. Dia salah satu pemain terbaik dalam jelajah sekarang, mungkin juga yang terbaik. Bermain menentangnya sentiasa menjadi cabaran, tapi pada masa sama sangat menyeronokkan.

“Setiap perlawanan ada cerita yang berbeza, itu yang menjadikannya lebih menarik. Dia juga sangat pantas, jadi sukar nak tembusi permainannya di mana-mana bahagian gelanggang.

“Selain itu, dia sangat kuat dari segi mental, bermain setiap mata seolah-olah ia yang terakhir. Itulah cabaran terbesar bila berdepan dengannya.”

Sinner dan Alcaraz sudah bertemu 16 kali sejak 2021, dengan pemain Sepanyol itu mendahului rekod pertemuan menerusi 10 kemenangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top