Alcaraz 'on track' buru gelaran kedua

Alcaraz 'on track' buru gelaran kedua

Paris: Juara bertahan, Carlos Alcaraz memulakan kempen Terbuka Perancis 2025 dengan langkah kanan selepas menewaskan pemain kelayakan dari Itali, Giulio Zeppieri dalam kemenangan straight set di gelanggang Suzanne Lenglen.

Pemain muda Sepanyol itu menampilkan aksi meyakinkan dengan mencatat 31 pukulan kemenangan sebelum menamatkan perlawanan dengan keputusan 6-3, 6-4, 6-2 untuk mara ke pusingan kedua menentang wakil Hungary, Fabian Marozsan.

“Setakat ini musim ini ibarat roller coaster buat saya. Tapi sekarang saya rasa berada di landasan yang betul,” katanya kepada media.

Alcaraz, 22, yang juga pilihan kedua kejohanan, memasuki Roland Garros sebagai pilihan utama susulan kejayaan menjulang trofi Masters Monte Carlo dan Terbuka Itali baru-baru ini, menjadikannya antara pemain paling konsisten di gelanggang tanah liat musim ini.

Namun, dia turut mengakui terdapat beberapa keputusan mengejut sepanjang 2024 termasuk kekalahan kepada Holger Rune di final Terbuka Barcelona, Jack Draper di separuh akhir Indian Wells dan David Goffin di pusingan pertama Miami Masters.

“Saya cuba kekalkan tahap permainan yang tinggi dari awal hingga akhir perlawanan. Saya mula rasa lebih selesa dan semakin dapat rentak sebenar saya,” katanya.

Dalam perlawanan semalam, Alcaraz tidak berdepan banyak tekanan apabila menyelamatkan ketiga-tiga mata break point yang dihadapi, sekali gus melanjutkan rentetan kemenangan kepada lapan perlawanan berturut-turut di Roland Garros.

Dia turut menyentuh mengenai situasi penuh emosi menyaksikan Rafael Nadal iaitu idola dan legenda senegaranya sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada Terbuka Perancis malam Ahad lalu di Court Philippe Chatrier.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top