Biak belangkas bukan hanya untuk jualan

Biak belangkas bukan hanya untuk jualan

asyikin.mat@hmetro.com.my

TUNJUK ajar daripada bapa menjadikan Mohamad Khadi Redzuan Ahmad, 22, ‘pakar’ dalam pembiakan belangkas sejak enam tahun lalu.

Menurutnya, dia mengambil masa hampir setahun untuk memahami selok-belok penjagaan dan pembiakan haiwan eksotik itu.

“Pembiakan belangkas bukan untuk jualan semata-mata, sebaliknya lebih tertumpu kepada penghasilan benih bagi membantu mengekalkan populasi hidupan laut itu di habitat semula jadinya.

“Kami membiakkan anak belangkas dan membelanya sehingga dua tahun. Ia kemudian dilepaskan ke laut di Tanjung Sedeli, Kota Tinggi, Johor.

“Tujuannya untuk memastikan populasi belangkas kekal terpelihara dan tidak pupus,” katanya.

Menurutnya, proses pembiakan bermula dengan pengambilan telur daripada induk belangkas betina.

Telur ini kemudian ditetaskan dan anak belangkas dibela dalam akuarium khas menggunakan sistem penjagaan yang memerlukan pemantauan rapi.

“Saiz anak belangkas yang dilepaskan ke laut, pada usia dua tahun, lebih kurang sebesar syiling 10 sen.

“Belangkas ini akan membesar secara semula jadi sehingga mencapai saiz yang sesuai ditangkap nelayan bagi pasaran makanan eksotik iaitu berat sekitar 600 hingga 700 gram,” katanya.

Menurut Mohamad Khadi, belangkas mengambil masa kira-kira 15 hingga 16 tahun untuk mencapai berat sebegitu.

Mohamad Khadi menjelaskan, aspek paling mencabar dalam pembiakan belangkas ialah memastikan kualiti air sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Walaupun belangkas dianggap haiwan tahan lasak dan jarang diserang penyakit, tetapi keadaan air yang tidak sesuai boleh menjejaskan tumbesarannya.

“Air yang digunakan untuk membela belangkas diambil terus dari laut tanpa dicampur dengan apa-apa bahan kimia,” katanya.

Menurutnya, air laut dianggap paling sesuai bagi memastikan anak belangkas membesar dengan sihat.

Pada masa sama, katanya, belangkas kerap menyalin kulit kerana ia proses penting untuk tumbesarannya.

“Seekor belangkas betina mampu menghasilkan antara 20,000 hingga 30,000 biji telur. Daripada jumlah itu, sekitar 80 peratus berjaya menetas dan hidup sehingga ke peringkat sesuai untuk dibesarkan.

“Ancaman utama anak belangkas yang dilepaskan ke laut ialah serangan ikan pemangsa,” katanya.

Menurut Mohamad Khadi, anak belangkas mempunyai kulit yang lembut ketika kecil, menyebabkan ia mudah menjadi mangsa pemangsa.

“Spesies ini boleh hidup lebih daripada 20 tahun sekiranya berada dalam habitat yang sesuai,” katanya.

Mohamad Khadi berkata, usaha membiakkan belangkas bukan sekadar meneruskan legasi keluarga, tetapi juga menyumbang kepada pemuliharaan spesies purba yang semakin mendapat perhatian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top