Beijing: Juara empat kali Grand Slam Carlos Alcaraz berkata, kes steroid membabitkan Jannik Sinner tidak bagus untuk tenis tetapi dia bersimpati dengan pemain nombor satu dunia itu.
Agensi Anti Doping Dunia (WADA) kelmarin berkata, rayuan telah dibuat kepada Mahkamah Arbitrasi Sukan selepas Sinner dibersihkan daripada sebarang kesalahan bulan lalu.
WADA menggesa hukuman gantung penyertaan sehingga dua tahun selepas pemain Itali itu didapati dua kali positif bahan terlarang clostebol pada Mac lalu.
Agensi Integriti Tenis Antarabangsa menerima penjelasan Sinner bahawa dadah itu masuk ke badannya ketika fisioterapi menggunakan semburan untuk merawat luka pemain itu.
Alcaraz, pemain Sepanyol nombor tiga dunia berkata di Terbuka China: “Saya fikir untuk tenis ia sangat tidak bagus dan kepada pemain keseluruhannya.”
Beberapa pemain lain tidak berpuas hati dengan penjelasan Sinner mengenai kegagalan dua ujian dopingnya tetapi Alcaraz mengambil pendirian berkecuali dan bersimpati kepadanya.
“Memang sukar untuknya. Saya tahu semua orang memperkatakannya, berita juga berkisar mengenainya,” kata Alcaraz selepas mara ke peringkat suku akhir di Beijing.
“Mungkin seperti diperkatakannya sebelum New York (Terbuka Amerika Syarikat), orang mula memandanganya dengan cara berbeza.
“Saya tak tahu bagaimana ia boleh berlaku tapi saya faham kedudukannya. Saya dapat rasakan situasi Sinner ketika ini. Saya harap isu ini dapat diatasi segera dan dia dapat fokus sepenuhnya dengan sukan disayanginya ini.”
© New Straits Times Press (M) Bhd

