Alex Marquez sambar petak pertama MotoGP Malaysia

Alex Marquez sambar petak pertama MotoGP Malaysia

PELUMBA Gresini Racing MotoGP Alex Marquez muncul pelumba terpantas Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2026 pada sesi kelayakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Sabtu.

Pada sesi Kelayakan 2, pelumba Sepanyol itu mencatat masa 1 minit 56.493 saat (s) untuk menempah petak utama, meninggalkan abangnya, pelumba Ducati Lenovo Team, Marc Marquez di tempat kedua dengan catatan 1:56.563s.

Seorang lagi pelumba Sepanyol beraksi untuk Red Bull KTM Factory Racing, Pedro Acosta bakal memulakan perlumbaan di petak ketiga selepas merekodkan masa 1:56.577s.

Sementara itu, hasrat untuk melihat pelumba Aprilia Racing Jorge Martin menghangatkan saingan MotoGP Malaysia 2026 tidak kesampaian selepas pelumba itu disahkan menarik diri daripada saingan.

Martin yang dibelenggu kecederaan retak pergelangan tangan sebelum ini turun beraksi pada sesi latihan bebas dua (FP2) pada sebelah pagi, namun bergelut menamatkan sesi di kedudukan ke-21.

Juara dunia 2024 itu ketinggalan hampir dua saat daripada catatan terpantas pelumba Red Bull KTM Tech3, Enea Bastianini yang merekodkan catatan 1:58.516s.

Menurut kenyataan Aprilia, pelumba itu akan meneruskan proses pemulihan.

Martin yang mengalami keretakan pergelangan tangan kanan selepas terjatuh ketika bersaing dengan pencabar kejuaraan Marc Marquez dalam perlumbaan Sprint di Phillip Island, Sabtu lepas, disahkan cergas untuk menyertai sesi latihan semalam.

Marquez kini mendahului carta kejuaraan dengan 365 mata, hanya 10 mata di depan Martin yang mengumpul 355 mata, manakala Marco Bezzecchi (Aprilia Racing) berada di kedudukan ketiga dengan 315 mata.-Bernama

Scroll to Top