Netanyahu, Eisenkot berebut peluang bentuk kerajaan Israel

Netanyahu, Eisenkot berebut peluang bentuk kerajaan Israel

BAITULMAQDIS – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan pencabar utamanya, Gadi Eisenkot masing-masing mendakwa mempunyai mandat untuk membentuk kerajaan selepas keputusan pilihan raya umum menyaksikan kedua-dua blok gagal memperoleh majoriti Parlimen.

Keputusan itu membuka laluan kepada rundingan politik yang rumit apabila kedua-dua pemimpin perlu mendapatkan sokongan tambahan untuk membentuk kerajaan gabungan.

Menurut AFP, Netanyahu dan Eisenkot setakat ini belum menjelaskan bagaimana mereka berhasrat memperoleh sokongan mencukupi, manakala maklumat mengenai rundingan di sebalik tabir masih terhad.

Sekiranya kedua-dua pihak gagal membentuk kerajaan, Israel berdepan kemungkinan mengadakan satu lagi pilihan raya umum.

Blok Netanyahu yang terdiri daripada parti sayap kanan, kanan jauh dan ultra-Ortodoks memenangi 53 daripada keseluruhan 120 kerusi Parlimen (Knesset), termasuk 27 kerusi yang dimenangi parti Likud pimpinannya.

Bagaimanapun, jumlah tersebut masih kekurangan lapan kerusi daripada majoriti minimum 61 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Bagi mengekalkan kuasa, Netanyahu perlu memujuk parti pembangkang menyertai gabungannya, walaupun kebanyakan parti berkenaan berkempen dengan janji untuk menamatkan pemerintahannya.

Presiden Israel, Isaac Herzog yang bertanggungjawab memilih calon paling berkemampuan membentuk kerajaan sebelum ini menegaskan bahawa pilihan raya baharu perlu dielakkan.

Antara halangan utama Netanyahu ialah pendirian parti berhaluan kiri, The Democrats pimpinan Yair Golan yang memenangi lapan kerusi dan dijangka menolak sebarang kerjasama dengannya.

Bekas sekutu Netanyahu yang kini menjadi pengkritik tegar, Avigdor Lieberman turut menunjukkan pendirian serupa.

Parti Yisrael Beiteinu pimpinan Lieberman memenangi tujuh kerusi, namun beliau menegaskan bahawa satu-satunya gabungan yang boleh dipertimbangkan ialah kerajaan tanpa Netanyahu.

Bagaimanapun, Lieberman memberi bayangan bahawa pihaknya mungkin menerima kerjasama dengan anggota Likud yang lain sekiranya Netanyahu tidak mengetuai kerajaan.

Pendirian parti Together berhaluan kanan tengah pimpinan bekas Perdana Menteri, Naftali Bennett pula masih belum jelas.

Parti itu memenangi 12 kerusi dan berpotensi memainkan peranan penting dalam rundingan pembentukan kerajaan.

Bennett pada awalnya membayangkan bahawa beliau tidak menolak kerjasama dengan blok Netanyahu sekiranya beberapa syarat dipenuhi, termasuk penubuhan segera suruhanjaya siasatan mengenai serangan 7 Oktober 2023.

Namun, beliau kemudian menjelaskan bahawa kenyataannya telah disalah tafsir.

Sementara itu, kemungkinan Netanyahu bekerjasama dengan parti Yashar pimpinan Eisenkot yang memenangi 21 kerusi dianggap sukar kerana bekas panglima tentera Israel itu menjadikan usaha menyingkirkan Netanyahu sebagai teras kempennya.

Eisenkot juga berulang kali menolak sebarang perjanjian perkongsian kuasa yang membolehkan jawatan Perdana Menteri digilirkan antara dua pemimpin.

“Tidak akan ada sebarang bentuk penggiliran jawatan Perdana Menteri. Hanya akan ada seorang Perdana Menteri dan orang itu ialah saya,” katanya sebelum pilihan raya.

Bagaimanapun, Israel pernah menyaksikan kerjasama politik luar jangka apabila Netanyahu dan tokoh berhaluan tengah, Benny Gantz mencapai persetujuan pada 2020 untuk menggilirkan jawatan Perdana Menteri.

Kerjasama tersebut akhirnya gagal selepas kira-kira setahun.

Satu lagi pilihan yang tersedia kepada Netanyahu ialah mendapatkan sokongan parti Arab Israel yang secara keseluruhan menguasai 19 kerusi.

Namun, langkah itu dianggap sukar memandangkan Netanyahu berulang kali menyerang parti berkenaan sepanjang kempen pilihan raya, selain membangkitkan dakwaan penyelewengan undi terhadap mereka selepas pengundian.

Walaupun begitu, Netanyahu pernah mengadakan pendekatan politik terhadap parti Arab pada 2015 dan 2021.

Bagi Eisenkot pula, blok pembangkang pimpinannya memperoleh 48 kerusi, menjadikannya memerlukan sekurang-kurangnya 13 kerusi tambahan untuk mencapai majoriti.

Selepas menolak kerjasama dengan Netanyahu, Eisenkot mempunyai dua pilihan utama, iaitu membentuk kerajaan minoriti dengan sokongan luar atau memperluas gabungannya melalui penyertaan parti Arab dan wakil rakyat daripada blok lawan.

Dua kumpulan parti Arab, Ra’am dan Joint List masing-masing memenangi lapan dan 11 kerusi.

Ketua Ra’am, Mansour Abbas sebelum ini pernah menyertai kerajaan gabungan dan menyatakan kesediaan untuk berbuat demikian sekali lagi.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat tentangan beberapa parti dalam blok pembangkang Eisenkot.

Ketua Joint List, Yousef Jabareen pula menyatakan kesediaan menyokong usaha Eisenkot menamatkan pemerintahan Netanyahu, tetapi enggan menyertai kerajaan.

Pendirian tersebut antara lain dipengaruhi perbezaan pandangan mengenai perang di Gaza.

Secara matematik, jika semua 19 wakil parti Arab memberikan sokongan, Eisenkot boleh memperoleh sokongan 67 anggota Knesset, sekali gus melepasi majoriti minimum yang diperlukan.

Namun, senario itu belum mendapat persetujuan semua pihak dan mungkin memerlukan Eisenkot mengubah pendiriannya ketika kempen.

Kerajaan yang bergantung kepada sokongan luar juga berisiko kehilangan majoriti sekiranya berlaku pertikaian dasar.

Sebagai bekas panglima tentera, Eisenkot mempunyai pendirian keselamatan yang mungkin sukar diterima parti Arab, khususnya berhubung operasi ketenteraan di Gaza.

Beliau sebelum ini berjanji menamatkan pemerintahan Hamas di Gaza dalam tempoh 18 bulan.

Sebarang operasi ketenteraan baharu berpotensi menyebabkan sekutu yang tidak bersetuju menarik balik sokongan terhadap kerajaannya.

Pilihan lain bagi Eisenkot ialah menarik sokongan anggota Parlimen daripada blok Netanyahu.

Bagaimanapun, usaha mendapatkan wakil Likud dijangka sukar berikutan kesetiaan parti itu kepada Netanyahu, manakala kerjasama dengan parti kanan jauh juga tidak mudah diterima blok pembangkang.

Sebaliknya, parti ultra-Ortodoks yang kini menyokong Netanyahu dan menguasai 13 kerusi mungkin menjadi sasaran rundingan.

Kerusi tersebut terdiri daripada tujuh milik United Torah Judaism dan enam milik Shas.

Namun, kerjasama Eisenkot dengan parti berkenaan turut dibayangi pertikaian mengenai pengecualian perkhidmatan tentera wajib bagi masyarakat Yahudi ultra-Ortodoks.

Eisenkot lantang menuntut supaya pengecualian tersebut ditamatkan, sedangkan parti ultra-Ortodoks mahu mempertahankannya.

Walaupun begitu, kemungkinan kerjasama masih wujud sekiranya kedua-dua pihak bersedia memberikan kelonggaran dalam rundingan.

Dengan tiada gabungan memiliki majoriti jelas, masa depan politik Israel kini bergantung kepada kemampuan Netanyahu atau Eisenkot mendapatkan sokongan tambahan.

Presiden Herzog dijadualkan menerima keputusan rasmi pilihan raya pada 4 November sebelum proses menentukan calon yang akan diberikan mandat membentuk kerajaan.

Kegagalan mencapai persetujuan bukan sahaja boleh memanjangkan ketidaktentuan politik, malah berpotensi memaksa Israel kembali mengadakan pilihan raya umum. – AFP

Scroll to Top