mohamadridzuan@hmetro.com.my
LUPAKAN seketika jenama Ali XPDC kerana Ali atau Mohd Ali Ismail di awal pembabitannya bermula dengan kumpulan Witness yang ditubuhkan di Klang, Selangor.
Pemain gitar dan bass kumpulan ini ketika itu berusia di bawah 12 tahun. Pemain dram mereka, Fuad Syahrin yang menyarankan agar Ali diambil sebagai penyanyi.
Atas saranan daripada tauke funfair, nama ini ditukar kepada Kid Power memandangkan anggotanya berusia di bawah 18 tahun, tetapi amat berbakat.
Mereka rancak mengadakan persembahan di pentas ekspo dan funfair di seluruh negara sehingga akhirnya Terra Rossa ditubuhkan dan merakamkan album di mana Ali bertindak sebagai penyanyi.
Dugaan kesihatan yang melanda Ali ketika ini membuatkan dia terpaksa berehat, tetapi pada masa sama kehidupan seharian terutama pendapatan keluarganya terjejas.
Sebagai kawan lama, Fuad terpanggil membantu Ali. Menerusi kerjasama Attah Music dan Mentari Merah Entertainment, mereka menganjurkan Konsert Amal Ali Terra Rossa yang berlangsung di Warisan Hall Studio, Sijangkang, baru-baru ini bagi mencari dana membantu Ali.
Walaupun lokasinya agak jauh, peminat tetap hadir memberi sokongan kerana tema konsert ini sendiri ialah Berhibur Sambil Beramal.
Mereka terhibur dan santai menyaksikan persembahan yang dibawakan dengan segmen pembukaan menampilkan dua pemain gitar, Zarief dan Luthfi yang diikuti oleh Kroll.
Turut tampil ialah kumpulan Cherish 2000, Akim dan Epet Gimme Mic. Keadaan semakin rancak apabila Korie yang juga rakan baik Ali tampil menyanyikan empat lagu iaitu Sebatang Tongkat Untuk Berdiri, Ku Di Halaman Rindu, Rozana dan Tiada Lagi Aku.
Diikuti segmen bual santai selepas itu apabila hos, DJ Poll menjemput Fuad dan anggota Terra Rossa bercerita pengalaman mereka bersama Ali.
Fuad ternyata gagal mengawal emosi apabila bercerita kebaikan sahabatnya dalam perasaan sebak.
Aju Success tampil dengan lima lagu antaranya Gering, Fantasia Bulan Madu serta lagu sendiri Ku Basuh Luka Dengan Airmata dan Kejam. Turut diadakan ialah lelongan poster oleh Datuk Rosli di mana hasilnya didermakan kepada Ali.
Hatta Junction tampil selepas itu bersama Rockapak Band yang menggamatkan suasana dengan lagu hit antaranya Orang Timur dan Bias Cinta.
Tidak ketinggalan kemunculan kumpulan Terra Rossa mengundang nostalgia buat semua yang hadir.
Tirai konsert diakhiri dengan penampilan istimewa penyanyi legenda, Datuk Malek Redzuan yang mengundang Ali tampil bersamanya menyanyikan lagu Bunga Angkasa yang disambut tepukan gemuruh semua yang hadir.
© New Straits Times Press (M) Bhd
