anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sesi persekolahan yang baharu bermula di Gaza bertukar tragedi berdarah apabila seorang kanak-kanak perempuan comel, Wafaa Yousef Nabil Akila, lapan tahun, dibunuh kejam tentera Israel.
Wafaa maut bersama bapanya, Youssef Nabil Akila, 36, apabila kenderaan dinaiki mereka diserang roket tentera Israel di barat Gaza kelmarin.
Bangkai kenderaan yang rentung terbakar serta buku sekolah milik Wafaa yang bertaburan di sekitarnya lokasi kejadian mencetuskan simpati ramai.
Pengerusi Muslim Care Malaysia-Palestin, Ahmed Abu Ayesh Al-Najjar yang berada di Gaza berkata, Wafaa baru memulakan persekolahan sebelum keluar bersama bapanya untuk membeli kelengkapan sekolah.
“Dalam perjalanan pulang, kenderaan mereka menjadi sasaran serangan. Serangan itu dilaporkan berlaku berhampiran kawasan al-Nasr di barat Kota Gaza, menyebabkan Wafaa dan bapanya maut serta merta.
“Dalam insiden sama enam lagi individu cedera. Mangsa yang cedera termasuk kanak-kanak dibawa mendapatkan rawatan di Kompleks Perubatan Al-Shifa.
“Amat menyedihkan apabila buku teks dan buku nota milik Wafaa bertaburan berhampiran bangkai kenderaan yang terbakar. Serangan ini amat tidak masuk akal,” katanya.
Malah menurutnya, Wafaa sepatutnya menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-9 pada 11 November depan.
“Namun impiannya untuk kembali ke sekolah, bermain bersama rakan dan meneruskan pelajaran tidak kesampaian,” katanya.
Menurutnya, tentera Israel mendakwa serangan berkenaan menyasarkan Youssef Nabil Akila yang didakwa sebagai anggota kanan Hamas.
“Tragedi itu berlaku ketika sistem pendidikan Gaza berdepan kemusnahan besar akibat konflik berpanjangan. Usaha mengembalikan kanak-kanak Palestin ke sekolah dan pusat pembelajaran di Gaza berdepan tugas getir,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan kenyataan oleh Pejabat Media Kerajaan Palestin di Gaza, pihak Israel ini menggunakan taktik dan kaedah tidak berperikemanusiaan dipanggil ‘kebuluran senyap’.
“Israel menyekat 65 peratus bekalan makanan yang diperlukan, manakala lebih 90 peratus penduduk Gaza tidak mampu membeli makanan.
“Penjajah Israel meneruskan dasar kebuluran senyap terhadap orang awam di Semenanjung Gaza melalui apa yang boleh disifatkan sebagai kejuruteraan kebuluran. Pihak Israel menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan kecuali dalam kuantiti yang sangat terhad,” katanya.
Abu Ayesh berkata, bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke Gaza gagal menampung keperluan minimum penduduk gaza yang semakin meningkat.
“Lebih 95 peratus rakyat di Semenanjung Gaza kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan.
“Sepanjang 330 hari sejak perjanjian gencatan senjata ditandatangani, pihak Israel hanya membenarkan 69,387 trak bantuan dan makanan memasuki Semenanjung Gaza berbanding 198,000 trak yang sepatutnya memasuki wilayah itu di bawah terma perjanjian itu
“Kami menyeru institusi dan pertubuhan antarabangsa mendedahkan realiti jenayah keji ini daripada berterusan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
