Alif Teega setuju 100 peratus aset harta sepencarian diserahkan kepada Aisyah

Alif Teega setuju 100 peratus aset harta sepencarian diserahkan kepada Aisyah

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pempengaruh media sosial yang juga ahli perniagaan, Aisyah Hijanah, 25, mengingatkan wanita berhadapan situasi sepertinya yang ‘dimadukan’ suami supaya tidak bertindak terburu-buru kerana mengikut perasaan marah.

Aisyah yang juga isteri pertama pempengaruh, Alif Teega menerusi Instagram, berkongsi perkara berkaitan harta sepencarian dengan suami yang semuanya diserahkan kepadanya dan anak-anak di atas persetujuan bersama antara mereka.

“Segala hasil titik peluh yang dibina daripada kosong bersama suami (aset harta sepencarian) sudah dipindahkan 100 peratus kepada milik saya termasuklah pegangan jenama tudung, rumah, kereta dan aset-aset yang lain.

“Jangan hancurkan semuanya hanya disebabkan amarah kita. Lindungi hak dan usaha anda. Catat semua aset bersama dan buat satu perjanjian khas. Kalau mampu upah peguam, silakan,” tulisnya turut mengingatkan wanita agar cuba bertenang dan berdamai dengan takdir untuk menemui jalan keluar.

Ibu dua anak ini berkata, jangan berasa putus asa terlalu awal walaupun di permulaannya mungkin tiada kepastian dan tidak tahu tindakan apa yang perlu dilakukan.

“Bagi wanita yang dipoligamikan, saya harap ‘posting’ (hantaran) kali ini membantu untuk anda semua. Poligami bukanlah perkara yang haram, tetapi tidaklah semua wanita boleh menerima. Sentiasa ingat untuk melindungi diri anda dan anak-anak.

“Jangan terburu-buru untuk bercerai. Jaga kesucian hati kita. Sabar dan cuba bertenang dulu. Berhati-hati dengan apa yang berlaku dan bagaimana anda menghadapi setiap perkara.

“Bukan bermakna kita tamak atau gila harta, tetapi kita nak jaminan untuk diri dan anak-anak. Sentiasa minta Allah beri petunjuk dan cari jalan yang terbaik. Anda perlu mengawal emosi dan bertenang. Jika tidak, semuanya akan musnah,” katanya.

Menurutnya, dia mendoakan agar mana-mana wanita yang dalam ujian yang sama seperti dihadapi dirinya diberikan kekuatan dan ketenangan hidup bersama suami serta anak-anak.

“Memang perempuan Tuhan jadikan lebih emosi berbanding lelaki. Tetapi, jangan sesekali biarkan kemarahan merosakkan kebijaksanaan anda. Jangan buat keputusan bila marah ataupun sedih, sebab itulah yang akan merosakkan semuanya.

“Terima kasih juga kepada Alif (suami) kerana kerjasama dengan baik dan beri hak yang sepatutnya. Semoga Allah mudahkan urusan,” katanya.

Rata-rata netizen bersetuju dengan tindakan Aisyah dan menyifatkan dia memang layak mendapat semua aset itu untuk masa depannya dan anak-anak selepas apa yang berlaku kerana pada masa sama kini hamil anak ketiga.

Pada 23 November lalu, Alif yang juga pempengaruh media sosial dan pakar motivasi mengumumkan dia sudah bernikah lagi dengan wanita pilihannya dan pendedahan dibuat bertujuan mengelak daripada sebarang fitnah terhadap dirinya, isteri dan keluarga.

© New Straits Times Press (M) Bhd