am@hmetro.com.my
Gua Musang: Sebelas anggota termasuk dua pegawai polis dan dibantu penguat kuasa lain ditempatkan di beberapa lokasi panas di daerah ini bagi memastikan aliran trafik lancar di pintu masuk Kelantan.
Ia susulan jumlah kemasukan kenderaan yang tinggi sempena cuti sekolah dan sambutan Aidiladha pada minggu depan.
Lokasi dikenal pasti antaranya laluan sempadan Pahang di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dan di Persiaran Raya iaitu Jalan Gua Musang-Kuala Krai.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, berlaku pertambahan kenderaan sejak semalam, namun situasi masih terkawal dan pergerakan trafik lancar.
“Unit Kereta Peronda (MPV) sudah diarah untuk membuat pemantauan berterusan di lokasi tumpuan dan kawasan ‘bottleneck’ iaitu sempadan daerah ini dan Kuala Lipis, Pahang dekat Kampung Mentara.
“Selain pasukan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, kami turut dibantu oleh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Rela, Majlis Daerah Gua Musang (MDGM), Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan konsesi projek Lingkaran Tengah Utama (LTU),” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Sik berkata, pihaknya sudah melakukan penarikan trafik bagi menyuraikan kesesakan lalu lintas menuju Kuala Krai di Persimpangan Bendahara, kira-kira 1 tengah hari tadi.
“Hasil tindakan pantas, kita berjaya mengawal kesesakan yang berlaku pada jarak lebih satu kilometer,” katanya.
Terdahulu, tinjauan Harian Metro mendapati pergerakan trafik di daerah ini setakat 3 petang tadi masih lancar walaupun berlaku pertambahan kenderaan berbanding biasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




