Ribuan merusuh, mahu rampas suspek kes rogol

Ribuan merusuh, mahu rampas suspek kes rogol

Dhaka: Ribuan penunjuk perasaan di Bangladesh bertempur dengan pihak polis dalam usaha merampas seorang suspek yang dituduh merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, kata pegawai pada Jumaat.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, negara Asia Selatan itu menyaksikan peningkatan mendadak dalam laporan kes keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak, sekali gus mencetuskan kemarahan masyarakat.

Pihak polis memaklumkan bahawa suspek yang dikenali sebagai Monir Hossain pada mulanya ditahan oleh penduduk tempatan di bandar raya kedua terbesar Bangladesh, Chattogram.

Suspek dilaporkan dalam proses diserahkan kepada pihak berkuasa pada Khamis apabila ketegangan mula memuncak membabitkan kira-kira 5,000 orang yang berada di lokasi kejadian.

Kumpulan penunjuk perasaan bertindak mengepung kenderaan polis dan cuba merampas suspek yang memaksa pihak berkuasa mengerahkan anggota tambahan serta melepaskan gas pemedih mata.

Pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis itu dilaporkan berlarutan selama hampir enam jam di kawasan terbabit.

Akibat tindakan agresif daripada kumpulan itu, sebuah kenderaan milik polis dilaporkan dibakar.

“Situasi kini berada dalam keadaan terkawal dan pelaku akan dibawa ke mahkamah hari ini,” kata jurucakap Polis Metropolitan Chattogram, Aminur Rashid kepada AFP.

Kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa dalam kejadian itu kini menerima rawatan di hospital.

Kekecohan terbaharu itu berlaku dua hari selepas kes rogol dan bunuh yang didakwa membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di Dhaka yang mengejutkan negara berkenaan.

Di ibu negara Bangladesh, penduduk mengadakan protes pada Khamis dengan menyekat laluan jalan raya selama beberapa jam dan berhimpun di beberapa kawasan bagi menuntut keadilan.

Perdana Menteri, Tarique Rahman mengadakan pertemuan dengan keluarga mangsa di Dhaka dan berjanji akan memastikan keadilan segera dilaksanakan kepada pihak yang terbabit.

Berdasarkan data rasmi, laporan kes keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak meningkat kepada 2,011 kes pada April berbanding 1,425 kes pada Mac dan 1,181 kes pada Februari.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top