hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Aliran trafik di rangkaian lebuh raya utama negara dilaporkan semakin lancar dan terkawal setakat jam 11 pagi tadi, susulan pergerakan pulang orang ramai yang berlaku secara berperingkat sejak pertengahan minggu ini.
Penolong Jurutera Kanan Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Saiful Ezri Jamaluddin berkata, unjuran trafik sehingga jam 11 pagi merekodkan sebanyak 640,418 kenderaan bagi hari ini.
“Jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding semalam yang mencatatkan 970,471 kenderaan bagi tempoh masa sama.
“Ini jelas menunjukkan trend penurunan trafik, berkemungkinan orang ramai sudah pulang secara berperingkat sejak Rabu lalu, terutama selepas cuti sekolah bermula,” katanya kepada Harian Metro di sini, hari ini.
Katanya, pergerakan trafik dijangka terus terkawal sekurang-kurangnya sehingga lewat petang ini.
“Berdasarkan pemantauan semasa, keadaan trafik di semua lebuh raya utama termasuk laluan ke Pantai Timur kini lancar dan terkawal.
“Meskipun terdapat kesesakan di Gombak pada awal pagi, keadaan di lokasi itu sudah kembali pulih dan aliran trafik semakin baik,” katanya.
Tambahnya, pengguna lebuh raya juga disaran mengambil peluang memulakan perjalanan lebih awal memandangkan keadaan trafik ketika ini berada pada tahap terbaik.
“Buat masa ini, perjalanan di semua lebuh raya amat tenang dan sesuai untuk memulakan perjalanan.
“Kami jangkakan keadaan ini berterusan sehingga sekitar jam 6 petang, namun selepas waktu berbuka, kemungkinan terdapat peningkatan semula trafik bergantung kepada pergerakan orang ramai,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




