am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Walaupun terpaksa bermandi peluh dan menahan bahang api, namun tukang besi, Almizan Mat Husin, 44, dari Kampung Buluh Poh, Ketereh, di sini, bersyukur dan bangga apabila pisau, golok serta kapak hasil buatannya mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Malah kedatangan Aidiladha tidak lama lagi memberi limpahan rezeki buat Almizan apabila tidak menang tangan menyiapkan pisau ditempah pelanggan sejak lebih sebulan lalu untuk ibadat korban.
Kata Almizan, setakat ini, dia menerima kira-kira 150 tempahan pisau lapah dan golok pelbagai jenis berharga RM100 hingga RM600 sebilah, bergantung kepada ukuran, jenis besi serta reka bentuk dikehendaki pelanggan.
“Saya mampu menyiapkan sehingga lapan bilah pisau dalam sehari, namun bergantung kepada jenis dan saiznya.
“Jika diikutkan, memang panas selain berpeluh kerana sentiasa dekat dengan api, namun saya bersyukur dan puas hati kerana semua yang dihasilkan sentiasa mendapat permintaan,” katanya ditemui di bengkel pembuatannya di Kampung Buluh Poh, Ketereh, hari ini.
Kata Almizan, pelanggannya terdiri dalam kalangan penduduk setempat dan ada juga dari luar Kelantan.
“Selain menerima tempahan untuk parang, pisau lapah dan golok, saya juga menawarkan perkhidmatan mengasah parang serta pisau lama dengan upahnya bergantung kepada keadaan mata parang atau pisau berkenaan,” katanya.
Anak ketiga daripada lapan beradik itu berkata, dia belajar teknik menghasilkan bilah parang dan pisau daripada arwah bapanya, Mat Husin Mamat, sejak berusia 10 tahun.
“Selain menimba pengalaman serta ilmu pertukangan besi, saya juga dapat meneruskan legasi arwah ayah yang sejak 2006 menjadi sumber pendapatan utama bagi meneruskan kelangsungan hidup.
“Pisau yang digunakan untuk aktiviti penyembelihan mempunyai peminatnya tersendiri dan hanya pemiliknya yang mengetahui pisau mereka dalam berkeadaan baik atau sebaliknya,” katanya.
Selain pisau lapah dan golok, Almizan turut menghasilkan sabit serta badik dan pada masa menerima tempahan keris sebagai koleksi peribadi pelanggan.
© New Straits Times Press (M) Bhd