Along ada bukti isteri curang

Along ada bukti isteri curang

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Sepang: Pelakon dan pelawak, Along Cham mendedahkan bukti rakaman suara bagi menyokong dakwaan curang yang dilakukan isterinya, Afreena Suhaimi dengan bekas suami daripada perkahwinan pertamanya.

Along atau nama sebenarnya, Mohd Zamhari Ismail berkata, rakaman berkenaan hanya didedahkan di mahkamah selepas dia mendapatkan nasihat peguam.

Dia memilih untuk tidak mendedahkannya lebih awal bagi mengelakkan sebarang manipulasi.

“Benda ini memang dah lama. Cuma apabila berhadapan dengan karakter begini, kita kena bijak sebab kalau saya lampirkan awal-awal, dia banyak manipulasi.

“Saya bincang dengan peguam, boleh tak kalau kita keluarkan dalam mahkamah dan dia cakap boleh sebab ini pembuktian,” katanya.

Along turut menjelaskan permohonannya untuk menjalankan perbicaraan secara tertutup ditolak hakim serta tidak disokong pihak defendan.

“Kami dah mohon untuk perbicaraan ini dibuat secara tertutup, tapi tak dipersetujui oleh hakim dan tak disokong oleh pihak defendan. Kenapa kami mohon tertutup adalah sebab untuk elakkan aib,” katanya.

Menyentuh mengenai rumah yang dikaitkan dalam perkara berkenaan, Along berkata, kediaman itu dibeli isterinya dan dia langsung tidak mengetahui lokasinya.

“Sebenarnya rumah itu memang dia beli tapi saya tak mahu tinggal di situ sebab jarak dari rumah yang saya tinggal ke sekolah anak, lima minit saja. Rumah yang dia beli agak jauh.

“Jadi, dia minta izin untuk cantikkan dan nak sewakan. Saya pun tak ada siasat dan rumah itu di kawasan mana pun saya tak tahu. Saya tak pernah pergi,” katanya.

Bagaimanapun, Along menyifatkan segala apa yang terbongkar adalah petunjuk daripada Allah SWT, termasuk individu yang tampil sendiri memberikan maklumat tanpa diminta.

“Saya tak pernah minta kepada netizen untuk bantu, tapi Allah Maha Pemegang Hati kepada yang tahu cerita sebenar sebab dia sendiri rasa bersalah dan hubungi saya.

“Katanya, dia tak mahu bersubahat sebab benda ini membabitkan dosa. Benda ini juga disahkan orang di sekeliling kawasan itu yang pernah nampak,” katanya.

Bagaimanapun, Along mengakui dia mengambil pendekatan berhati-hati demi menjaga maruah isteri dan keluarganya.

“Saya ini memikirkan dia masih ada anak kecil dan maruah ibu bapanya. Boleh saja saya buat serbuan. Benda ini dah berlaku sejak September tahun lalu.

“Kalau saya nak berlaku zalim, saya boleh. Hati siapa tak hancur selepas banyak penipuan,” katanya.

Menurut Along, lafaz taklik sudah diberikan sebagai peringatan kepada isterinya, namun kecurangan tetap berlaku dan kini semuanya perlu disahkan melalui proses mahkamah.

“Saya bagi lafaz taklik dengan harapan dia menjaga. Tapi saya tak sangka, dia tetap buat juga. Bila dah buat lafaz taklik, memang kena urusan disahkan mahkamah.

“Sekarang jadi lambat sebab dia tak mengaku. Kalau dia mengaku, cepatlah urusannya,” katanya.

Mahkamah Rendah Syariah Sepang hari ini menetapkan tarikh 14 dan 18 Ogos untuk perbicaraan seterusnya bagi kes permohonan pengesahan lafaz cerai pasangan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top