syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Along Eyzendy kini berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang sejak jam 4 petang tadi selepas keadaan kesihatannya merosot secara mendadak.
Isterinya, Hamidah Mohd Yatim memaklumkan, Along atau nama sebenarnya Mohd Eyzendy Mohd Aziz, 47, mula dimasukkan ke wad pada Jumaat minggu lalu akibat demam dan batuk berpanjangan sebelum doktor mengesyaki terdapat jangkitan pada stent di saluran hempedunya.
“Disebabkan jangkitan itu, tekanan darah, tahap hemoglobin, dan bacaan platlet Along turun naik. Ada hari yang keadaannya baik, ada hari yang semua bacaannya menurun.
“Tadi, semasa doktor sedang memasukkan platlet, tiba-tiba Along menjadi tidak sedarkan diri. Apabila dipanggil dan diminta membuka mata, dia tidak memberi sebarang tindak balas,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut mengenai punca penyakit itu, Hamidah menjelaskan hasil pemeriksaan ultrabunyi mendapati terdapat bengkak dan takungan nanah pada pundi hempedu suaminya.
“Semalam, doktor sudah menebuk pundi hempedu untuk mengeluarkan nanah dan memang ada darah kotor yang keluar. Doktor merancang untuk memberikan antibiotik bagi merawat jangkitan itu.
“Bagaimanapun, doktor terpaksa menidurkannya buat masa ini untuk memberi ruang kepada badan Along berehat kerana dia berada dalam kesakitan yang amat sangat sehingga tidak dapat menerima prosedur skop,” katanya.
Ditanya mengenai tempoh Along akan ditidurkan, Hamidah berkata perkara itu bergantung sepenuhnya kepada kekuatan fizikal suaminya dan tindak balas organ dalaman lain.
“Jika dia kuat dan tiada kerosakan pada organ lain, Insya-Allah dia akan sedar dengan cepat. Kami berharap pendarahannya tidak serius malam ini supaya doktor boleh melakukan prosedur skop esok untuk mengenal pasti punca pendarahan,” katanya.
Buat masa ini, semua ahli keluarga termasuk anak-anak dan keluarganya dari Machang, Kelantan sudah berada di hospital.
© New Straits Times Press (M) Bhd




