Along kecewa dengan tindakan isteri

Along kecewa dengan tindakan isteri

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Sepang: Pelakon dan pelawak, Along Cham menyelar tindakan isterinya, Afreena Suhaimi yang didakwanya sering menimbulkan persepsi buruk terhadap dirinya termasuk menjaja cerita di media sosial selepas setiap prosiding selesai.

Menurutnya, dia juga seperti tidak memahami dengan tindakan Afreena setiap kali selesai proses di mahkamah.

“Saya pun tak faham kenapa dia buat sesi soal jawab setiap kali balik dari mahkamah.

“Sedangkan sebelum ini, dialah yang konon sanggup buat apa saja demi saya, sampai sanggup pergi cari dana. Sekarang lain pula jadinya. Fikir-fikirlah sendiri,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan yang tersebar di media sosial kononnya dia yang mendedahkan aib isterinya di mahkamah, Along menafikan tuduhan itu dan menegaskan segala fakta yang dibentangkan adalah dibenarkan pihak mahkamah.

“Kalau anda tanya soalan, saya jawab berpandukan pendapat peguam. Apa yang keluar di media untuk pengetahuan netizen, media dibenarkan masuk ke dalam dan dengar sendiri prosiding.

“Saya tak pernah bercerita di Instagram saya. Saya hanya buat kandungan lain. Saya dah lantik orang untuk selesaikan hal ini secara sah,” katanya.

Menurutnya, tindakannya mengemukakan bukti di mahkamah bukan untuk memburukkan sesiapa, tetapi sebagai langkah membela diri dalam prosiding yang sah di sisi undang-undang.

“Ada netizen kononnya dalam mahkamah kata saya buka aib dia. Sebenarnya itu bukan buka aib, tapi pembuktian. Bila hakim tanya ada bukti atau tidak, mestilah saya beri. Kalau saya tak beri, macam mana saya nak selesaikan kes saya?” katanya.

Along juga menyatakan bahawa beliau dan peguamnya amat kesal kerana sebelum ini turut dikaitkan dalam kenyataan tidak berasas oleh pihak defendan.

“Saya dan peguam sangat marah sebab sebelum ini pun dia ada petik saya dan peguam dalam kenyataan-kenyataan dia. Itu tabiatnya.

“Pada saya, tak perlulah. Netizen pun boleh menilai. Ramai juga yang beri sokongan moral dan tak mempersoalkan tindakan saya,” katanya.

Along berkata, dia kini mahu fokus kepada perniagaan dan tidak lagi mahu terbabit dalam ‘permainan’ yang mencemarkan nama baiknya.

“Waktu saya di Sungai Buloh pun, saya tak ada telefon bimbit. Tapi warden yang jaga saya sendiri beritahu segala tindak-tanduk dia di luar.

“Alhamdulillah, Allah hantar orang sekeliling yang bantu dan beritahu perkara sebenar. Saya tak ada kerja nak stalk dia. Sekarang saya tengah sibuk fokus pada perniagaan saya,” katanya.

Mahkamah Rendah Syariah Sepang hari ini menetapkan tarikh 14 dan 18 Ogos untuk perbicaraan seterusnya bagi kes permohonan pengesahan lafaz cerai pasangan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top