LATEST

Hans Isaac arah FINAS semak semula Dana STAR

Hans Isaac arah FINAS semak semula Dana STAR

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac memberi jaminan semakan semula program Dana Supertelefilem Bintang Veteran (STAR).

Hans, 55, berkata demikian sebagai mengulas keluhan pelakon Shahriza Mahmud yang mendakwa dirinya dipinggirkan daripada program itu walaupun sudah dijanjikan peluang sebelum itu.

“Saya sudah arah sekali lagi team FINAS untuk bantu dengan program STAR. Dana STAR Veteran ini adalah dalam beberapa fasa.

“Jadi kena beri masa untuk syarikat produksi pilih skrip yang berpatutan untuk pelakon tertentu,” jawabnya ringkas menerusi mesej WhatsApp kepada Harian Metro.

Hans sebelum ini memperkenalkan dana STAR untuk membantu penggiat seni veteran mencari pendapatan dengan menetapkan 60 peratus daripada tenaga kerja projek itu adalah lebih kepada usia 55 tahun ke atas.

Dia juga meletakkan syarat pelakon utama serta pembantu perlu digalas oleh pelakon veteran.

“Saya sebenarnya teruja kerana ini adalah ‘pilot project’. Jadi kalau ia berjaya, kami dapat laksanakan lagi. Saya rasa tahun depan bajet mungkin kita boleh tingkatkan.

“Kita nak lebihkan lagi projek untuk STAR. Antara yang kita bincang dengan persatuan industri, kita nak ‘monitor’ supaya penerbit memastikan dia bayar bayaran kepada artis, kru dan lain-lain,” katanya.

Tambah Hans lagi, FINAS tidak mahu melihat ada baucer bayaran tanpa jumlah harga dan hanya tertera tanda tangan artis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news