am@hmetro.com.my
Alor Setar: Selepas hampir 47 tahun tersimpan dalam bentuk rakaman audio, ucapan Menteri Besar Kedah kelima, Datuk Seri Syed Nahar Syed Sheh Shahabuddin semasa majlis peletakan batu peringatan Kampung Lindungan Raja di Sedim, Kulim, berjaya ditranskripsikan.
Ucapan yang disampaikan pada 14 Disember 1979 itu mengandungi penceritaan mengenai peristiwa bersejarah di Sedim ketika pendudukan Jepun, termasuk kisah Almarhum Sultan Abdul Hamid mendapatkan perlindungan di kampung berkenaan.
Transkripsi ucapan itu dilakukan Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Syamsyul Anuar Ismail pada 25 Oktober lalu, dengan mengekalkan setiap perkataan seperti yang dirakamkan dalam audio asal.
“Rakaman audio ini masih dalam simpanan PSMCK. Bahasa yang digunakan memang bahasa pertuturan harian masyarakat Kedah,” katanya.
Beliau berkata, ucapan berkenaan mempunyai nilai sejarah kerana Syed Nahar menceritakan asal-usul Kampung Lindungan Raja yang berkait rapat dengan peristiwa ketika Tanah Melayu berdepan serangan tentera Jepun pada 1941.
Ucapan itu turut mengimbas kisah Almarhum Sultan Abdul Hamid yang dibawa ke Sedim untuk berlindung selepas perjalanan baginda ke Pulau Pinang dihalang oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj bersama beberapa orang rakannya.
“Antara perkara menarik dalam ucapan itu ialah tindakan Tunku Abdul Rahman bersama beberapa orang rakannya menghalang perjalanan Almarhum Sultan Abdul Hamid ke Pulau Pinang.
“Ketika itu, baginda dalam perjalanan untuk mendapatkan perlindungan atas permintaan pihak berkuasa British susulan kemaraan tentera Jepun di Tanah Melayu,” katanya.
Syamsyul yang juga pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, berdasarkan penceritaan dalam ucapan itu, Almarhum Sultan Abdul Hamid dibawa dari Bumbung Lima ke Kulim sebelum dibawa ke Sedim dengan selamat pada 12 Disember 1941.
“Peristiwa ini turut memperlihatkan kesetiaan penduduk Sedim yang sanggup memberikan perlindungan kepada Sultan ketika Tanah Melayu berdepan ancaman tentera Jepun.
“Syed Nahar sendiri menyatakan dalam ucapan itu bahawa beliau masih kecil dan tinggal di Sedim ketika peristiwa berkenaan berlaku,” katanya.
Syamsyul berkata, transkripsi itu penting bagi memastikan kandungan rakaman berkenaan dapat dipelihara dalam bentuk bertulis dan dimanfaatkan sebagai bahan rujukan sejarah, khususnya berkaitan Kedah.
© New Straits Times Press (M) Bhd