MELAKA: Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) diminta bersabar dan tidak membuat sebarang andaian berhubung tindakan tatatertib yang bakal dikenakan Perikatan Nasional (PN) terhadap parti itu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata BERSATU akan diberikan peluang untuk menjelaskan kedudukan serta membela diri sebelum sebarang keputusan dibuat.
Katanya, seperti dimaklumkan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, PN sedang mengumpulkan bukti berkaitan dakwaan salah laku sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
“Semalam, Datuk Seri Samsuri jelas menyatakan bahawa PN akan mengambil tindakan disiplin, tetapi perlu mengumpulkan bukti terlebih dahulu kerana kita tidak mahu menghukum tanpa bukti.
“Jadi dalam proses mengumpul keterangan berkenaan, Tun Faisal (Datuk Tun Faisal Ismail Aziz) dan rakan-rakan dia dalam BERSATU, sabar, jangan ‘meloncat dulu’. Kamu akan diberi peluang untuk membalas.
“Kita (PN) akan bagi kamu hak untuk bercerita, bela diri dan kemudian kita buat keputusan. Jadi, kepada Bersatu, tunggu dulu surat itu sampai sebab kita nak selesaikan PRN Melaka dulu,” katanya.
Beliau ditemui selepas Sidang Media Pengumuman Tawaran Manifesto Calon Perikatan Nasional PRN Melaka di Pejabat Badan Perhubungan Pas Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Tun Faisal yang juga Ketua Penerangan BERSATU, yang meminta PAS membuktikan terlebih dahulu parti itu tidak melanggar Perlembagaan PN serta tidak menafikan hak parti anggota sebelum mengambil sebarang tindakan tatatertib terhadap BERSATU.
© New Straits Times Press (M) Bhd