LATEST

PRN Melaka: BN, PN sasar sokongan 60 peratus pengundi

PRN Melaka: BN, PN sasar sokongan 60 peratus pengundi

razis@hmetro.com.my

Alor Gajah: Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menyasarkan sokongan 60 peratus pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, menerusi kerjasama kedua-dua gabungan itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata sasaran itu berdasarkan jumlah undi yang diperoleh BN dan PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), yang masing-masing merekodkan 29 peratus dan 31 peratus.

Katanya, walaupun keputusan PRU15 menyaksikan sokongan terhadap BN berada pada tahap terendah, jumlah undi kedua-dua gabungan itu sekiranya disatukan, mampu memberi kelebihan pada PRN kali ini.

“Pada PRU15, BN mendapat 29 peratus undi, PN 31 peratus, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh 38 peratus.

“Apabila BN dan PN bersama, kita boleh campurkan jumlah sokongan itu, iaitu 29 campur 31 bersamaan 60 peratus.

“Harapan kita ialah 60 peratus itu akan mengundi kita dan memberikan kemenangan. Itu angka yang tidak boleh direka-reka kerana itulah hakikatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Gelombang Biru BN dan PN di Bilik Gerakan BN, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari dan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Ahmad berkata, kerjasama antara jentera BN dan PN perlu diperkukuh melalui penganjuran lebih banyak program bersama sepanjang tempoh kempen.

“Saya menggesa supaya jentera memperbanyakkan majlis bersama PN, terutama membabitkan ketua UMNO bahagian dengan Yang Dipertua PAS kawasan serta ketua cawangan UMNO dengan ketua ranting PAS.

“Kalau kita nampak bergerak bersama, barulah 29 campur 31 peratus itu boleh berlaku,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, satu ceramah mega membabitkan pemimpin utama BN dan PN dijadual berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada malam Khamis ini.

Katanya, program berkenaan dijangka menghimpunkan penyokong kedua-dua gabungan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama menjelang hari pengundian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news