London: Pelumba Formula Satu, Sergio Perez, dilaporkan sudah memulakan perbincangan dengan pasukan Alpine untuk musim 2026, menurut laporan Daily Mirror dari United Kingdom.
Spekulasi itu timbul selepas laporan terdahulu dari ESPN menyatakan bahawa Perez turut dalam rundingan dengan pasukan baharu, Cadillac, yang dijangka menyertai saingan F1 sebagai pasukan ke-11 bermula musim depan. Bagaimanapun, Cadillac dilaporkan masih mempertimbangkan beberapa calon lain.
Alpine pula dilihat sebagai antara destinasi berpotensi selepas membuat keputusan mengejut untuk merehatkan pelumba muda Jack Doohan bagi lima perlumbaan akan datang, dan memberi peluang kepada pelumba berusia 21 tahun, Franco Colapinto.
Jika Alpine memilih untuk melepaskan kedua-dua pelumba mudanya, peluang terbuka luas buat Perez, yang membawa pengalaman luas untuk digandingkan bersama Pierre Gasly musim depan.
Perez, 35, dan Red Bull mengumumkan perpisahan mengejut selepas musim 2024 berakhir di Abu Dhabi, meskipun kontraknya masih berbaki dua tahun.
Selepas menamatkan musim 2023 di tempat kedua di belakang rakan sepasukan Max Verstappen, Perez bergelut pada musim lalu tanpa sebarang kemenangan iaitu kali pertama sejak 2019 dan hanya empat kali menaiki podium.
“Semuanya berlaku dengan sangat pantas. Saya sendiri tidak jangka akan tinggalkan pasukan.
“Kami hanya mula berbincang secara serius selepas Grand Prix Qatar,” katanya kepada F1.com.
Sejak meninggalkan F1, Perez kini hanya meluangkan masa bersama keluarga, sementara masa depannya di litar lumba masih menjadi tanda tanya.
Dengan 281 perlumbaan, enam kemenangan dan 39 podium dalam kerjayanya, Perez masih dilihat sebagai antara pelumba berpengalaman yang mampu menyumbang kepada pasukan, terutamanya selepas tiga musim cemerlang bersama Red Bull.
© New Straits Times Press (M) Bhd