Lan Solo teruja anak perempuan juara tarian di Perancis

Lan Solo teruja anak perempuan juara tarian di Perancis

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi Lan Solo memaklumkan terlalu gembira apabila mendapat berita anak sulungnya, Nur Amna Qaleesya, 15, muncul juara kategori tarian kuartet di Festival Antarabangsa Les Étoiles de Paris 2025 yang berlangsung di Paris, Perancis Khamis lalu.

Lan atau Muhammad Razlan Mohamed, 40, berkata, Nur Amna Qaleesya yang mewakili Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSEMKL) bertolak ke Paris dua minggu lalu ditemani ibunya, Nur Sheila Hassim.

“Sebelum pergi saya sempat menitipkan pesan agar dia buat betul-betul. Dah sampai sana, bendanya bukan kecil. Semua orang letak harapan wakil sekolah bawa nama negara.

“Jadi saya minta dia buat yang terbaik. Menang kalah itu tolak tepi sebenarnya. Saya nak dia buat paling bagus sahaja sebab kita tahu kan, bila peringkat antarabangsa ini, dia punya sengit dia itu lain.

“Mungkin kelebihan kita, budaya tarian kita itu menarik minat juri-juri sehingga mengangkat mereka sebagai juara,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya pasukan anaknya membariskan empat penari menampilkan tarian dari Borneo yang dicipta oleh guru SSEMKL.

“Mereka menewaskan tujuh lagi negara yang bertanding antaranya Ukraine, Indonesia, Kyrgyzstan dan Armenia.

“Kos untuk ke Paris ada yang ditanggung kerajaan dan ada yang sendiri juga. Tiket untuk isteri saya menggunakan duit sendiri. Belanjanya besar jugalah. Tapi berbaloilah.

“Saya tak reti nak cakap apa-apa tapi bila dia (isteri) ada, saya lega sikit. Nama saja anak, nampak macam besar panjang tapi dia punya pemikiran itu singkat lagi.

“Saya cakap dengan Nur Amna Qaleesya itu sajalah, Daddy dengan Mummy dah bagi peluang ini dan dia balas dengan kejayaan,” katanya.

Lan berkata, dia menyerahkan kepada anaknya untuk memilih karier pada masa depan.

“Saya, kalau boleh akan tengok minat semasa dia macam mana. Sebab saya suka, macam kita sendiri, kalau buat benda dalam paksaan pun macam tak best juga kan.

“Kalau dia tak ada minat susah juga. Menjadi itu lambat. Bila dia ada minat itu, dia akan cepat mahir. Jadi saya serah pada minat dia sendiri,” katanya.

Sementara itu rombongan peserta ke festival terbabit selamat tiba di tanah air jam 8 pagi tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top