Soalan
Saya sudah beberapa kali membuat rayuan untuk mengerjakan haji, namun hingga sekarang rayuan tersebut masih belum diluluskan. Apakah ada tip atau amalan untuk mempercepatkan urusan melaksanakan ibadah haji ini?
Jawapan
Hanya ALLAH SWT yang Maha Mengetahui bila dan waktu keadaan yang terbaik untuk kita menjadi tetamu-Nya di Tanah Suci Makkah dan Madinah.
Di sana juga tidak ada amalan-amalan khusus yang boleh melayakkan kita untuk menjadi tetamu-Nya. Bagaimanapun, secara umumnya kita boleh amalkan tiga amalan seperti berikut:
1 – Memperbanyakkan sujud dan solat sunat
Ketika sujud, perbanyakkan doa kepada ALLAH SWT. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Keadaan yang paling dekat seseorang hamba dengan Tuhannya ialah ketika dia bersujud. Maka perbanyakkanlah berdoa (pada waktu sujud).” (Hadis Riwayat Muslim)
2 – Bangun solat tahajud di sepertiga malam
Perbanyakkanlah berdoa pada waktu itu kerana Nabi SAW bersabda: “Tuhan yang Maha Berkat dan Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia sewaktu masa berbaki sepertiga malam terakhir dan DIA berfirman: Barang siapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan baginya. Barang siapa yang meminta kepada-Ku nescaya Aku akan memberikan (apa yang dipinta) kepadanya. Barang siapa yang meminta pengampunan daripada-Ku, nescaya Aku akan mengampuninya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Jadi, rebut peluang ini dan mohon kepada ALLAH SWT bahawa kita mahu melaksanakan ibadah haji pada tahun ini.
3 – Doa dengan penuh keyakinan ia akan dimakbulkan
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Berdoalah kepada ALLAH dalam keadaan kamu yakin bahawa ia akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa ALLAH SWT tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Mudah-mudahan doa kita semua untuk menunaikan haji dalam waktu terdekat akan dimakbulkan ALLAH SWT dan semua urusan dipermudahkan-Nya.



