Jon Coupland jatuh cinta dengan Proton Saga

Jon Coupland jatuh cinta dengan Proton Saga

lizam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Siapa sangka kereta Proton yang mula menembusi pasaran United Kingdom (UK) pada 1987, masih mempunyai tempat istimewa di hati peminat automotif negara itu, termasuk seorang lelaki warga Britain yang menjadikan model keluaran Malaysia itu sebagai koleksi peribadinya.

Jon Coupland, yang bertugas sebagai anggota polis dan menetap di Boston, Lincolnshire, kini memiliki enam kereta Proton kerana tertarik dengan keunikan reka bentuk yang jarang ditemukan lagi pada ketika ini.

Keinginannya untuk mula mengumpul jenama automotif itu apabila secara tidak sengaja menemui iklan sebuah Proton Saga 1.5 di laman web jual beli kenderaan terpakai sebelum mengambil keputusan membelinya pada 2019.

“Tanpa berlengah, saya terus pergi ke pusat jualan kenderaan itu dan membeli Proton Saga 1.5 sebelum membawanya pulang ke rumah.

“Saya menyedari model Proton mempunyai keistimewaan tersendiri, namun ia semakin dilupakan di UK.

“Sejak itu, timbul visi saya untuk mengumpulkan semula model kenderaan ini bagi memastikan jenama Proton terus hidup,” katanya.

Kereta pertama yang dimilikinya ialah Proton Saga 1.5 SE LE Edisi Khas UK keluaran 1990 berharga 700 Pound Sterling (kira-kira RM4,000), yang masih dalam keadaan baik dengan jarak perbatuan 48,000 kilometer (km).

Coupland berkata, minatnya semakin mendalam apabila menyedari model Proton semakin sukar ditemukan di UK, memandangkan kereta jenama itu kini hanya boleh diperoleh melalui pasaran terpakai.

Dia menyukai model awal kereta Proton seperti Saga dan Iswara yang menampilkan rekaan serta kemasan berbeza berbanding kereta jenama biasa dilihat di Eropah.

“Kereta Proton ini unik kerana ia mempunyai sudut rekaan yang cantik, ketahanan diyakini berbanding jenama kereta sedan lain yang agak membosankan dari segi bentuk luaran.

“Bahkan, harga kereta Proton juga tidak terlalu tinggi untuk dimiliki,” katanya yang bangga memiliki jenama yang sukar diperoleh di UK itu.

Antara koleksi lain yang dimiliki ialah Proton Saga 1.5GL Black Knight Edition keluaran 1989, yang mendapat perhatian selepas muncul sebagai pilihan juara dalam segmen kereta pelik dan tidak popular pada festival Festival of the Unexceptional: A Concours de l’Ordinaire.

Menurutnya, model kedua kereta Proton iaitu Saga 1.5GL Black Knight Edition keluaran 1989 menjadi tular selepas ia muncul sebagai pilihan juara bagi segmen kereta pelik dan tidak popular pada Festival of the Unexceptional: A Concours de l’Ordinaire’.

Dari segi penyelenggaraan, Coupland banyak bergantung kepada bapanya yang berpengalaman sebagai mekanik yang turut dikenali antara yang mahir bagi model kereta Proton di UK

“Komponen kemasan seperti aksesori luaran dan dalaman memang sukar diperoleh berbanding alat ganti mekanikal, jadi kebiasaanya saya mendapatkan komponen berkenaan daripada kenderaan yang sudah dilupuskan.

“Saya juga berhasrat untuk melawat Proton City di Tanjong Malim, Perak, serta kilang dan muzium Proton di Pusat Kecemerlangan Proton (COE), Subang Jaya, Selangor,” katanya yang turut mempunyai saluran media sosial dan Youtube berkenaan minatnya dengan produk nasional itu.

Bukan setakat mengumpul koleksi, dia juga menjadikan kereta Proton Saga Iswara berwarna putih sebagai kenderaan harian ke tempat kerja, manakala model lain digunakan dalam majlis khas atau pameran auto tempatan.

Berdasarkan sejarah, kereta Proton mula menembusi pasaran antarabangsa pada 23 November 1987 apabila Pengerusi Perusahaan Otomobil Nasional ketika itu, Tan Sri Jamil Jan dan Pengerusi Proton Cars (UK) Ltd, David Alan Brown menandatangani perjanjian pengedaran kereta Nasional Proton Saga ke United Kingdom, Eire, The Isle of Man dan The Channel Islands.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top