ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad angkat berat negara menerima suntikan semangat menjelang Sukan Komanwel Glasgow 2026 apabila Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, menyampaikan amanat menerusi sidang Zoom bersama atlet, jurulatih dan pegawai pasukan, semalam.
Pengurus pasukan, Amirul Hamizan Ibrahim berkata, amanat itu menegaskan keyakinan presiden bahawa barisan kali ini adalah antara yang terbaik dan mampu melakar sejarah baharu di pentas Komanwel.
“Amanat daripada presiden supaya semua atlet dapat menggalas cabaran kali ini dengan penuh tanggungjawab,” kata Amirul ketika dihubungi Arena Metro.
Beliau berkata, skuad negara sudah menjalani latihan intensif selama sebulan di Kuala Rompin sebelum menyertai kem latihan sepanjang dua minggu di Turkiye.
“Prestasi yang dibentangkan ketua jurulatih amat memuaskan. Harap semua atlet bersedia dari segi mental dan fizikal,” katanya.
Mengulas mengenai persaingan, Amirul mengakui India dijangka menjadi pencabar utama, khususnya dalam kategori 60 kilogram (kg), 65kg dan 79kg, yang turut menjadi sasaran emas negara.
Bagaimanapun, beliau optimis peluang tetap terbuka dengan persiapan rapi termasuk percubaan angkatan maksimum.
Malaysia mempertaruhkan sembilan atlet di Glasgow iaitu Aniq Kasdan (60kg), Aznil Bidin (65kg), Erry Hidayat (79kg), Hafizuddin Roslin (88kg), Syahmi Nor Ghazali (94kg), Farris Haikal Kamarul (+110kg), Irene Jane Henry (48kg), Nur Syazwani Radzi (63kg) dan Siti Aqilah Farhana Draman (+86kg).
Aksi angkat berat di Sukan Komanwel Glasgow akan berlangsung di SEC Armadillo dari 26 hingga 30 Julai.
Malaysia meletakkan sasaran tiga pingat emas, sekali gus menjadikan angkat berat antara sandaran utama kontinjen negara.
Sebagai rekod, pada edisi Birmingham 2022, negara meraih dua emas menerusi Aniq (55kg) dan Aznil (61kg), selain perak sumbangan Erry Hidayat dalam kategori 73kg.
Pencapaian itu kini menjadi penanda aras buat skuad negara yang berazam mencipta keputusan lebih baik di Glasgow.
© New Straits Times Press (M) Bhd




