Amar Asyraf timang cahaya mata ketiga, pilih nama Ammara Fateema

Amar Asyraf timang cahaya mata ketiga, pilih nama Ammara Fateema

Pelakon Amar Asyraf selamat menimang cahaya mata ketiga yang diberi nama sebagai Ammara Fateema selepas dilahirkan pada Sabtu lalu.

Berita gembira tersebut dikongsi Amar atau nama penuhnya Amar Asyraf Zailuddin menerusi satu perkongsian foto di laman Instagram hari ini.

“Alhamdulillah syukur pada Allah SWT. Allah Maha Baik. Untuk pengetahuan rakan rakan, pada 25 Mac bersamaan dengan 3 Ramadan yang lepas telah lahirnya anak perempuan saya Ammara Fateema binti Amar Asyraf.
“Semoga jadi anak yang solehah dan baik, asbab bapa dan ibu masuk syurga In Shaa Allah.
Terima kasih isteri. Saya sayang awak kerana Allah,” tulisnya.

Menerusi foto berkenaan, pelakon berusia 37 tahun itu dilihat berswafoto sambil mendukung bayinya yang merupakan anak pertama bersama isteri Farhana Yusof.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa syukur dan mengucapkan tahniah kepada pelakon drama Setia Hujung Nyawa atas kelahiran zuriat tercinta.

Untuk rekod, Amar dan Farhana didakwa mendirikan rumah tangga pada Mac tahun lalu tanpa mendedahkan butiran perkahwinan mereka.

Amar turut mempunyai dua cahaya mata iaitu Muhammad Taufik dan Ammara Dian hasil perkahwinan terdahulu bersama Arna Salleh.

Sumber: Instagram Amar Asyraf