Wanita: Sayangi diri sebelum menyayangi yang lain

Kuala Lumpur: ‘Sayangi diri’ atau lebih mudah dikenali dengan ‘self-love’ adalah satu konsep yang sangat penting dalam kesihatan mental. Ia juga sering dikaitkan dengan belas diri atau ‘self-compassion’. Kajian menunjukkan wanita lebih cenderung mengalami gangguan emosi (37.3%) dan boleh diperincikan kepada stres (24%) dan depresi (32.6%), berbanding lelaki. Antara faktor-faktor yang mendatangkan kesan terhadap emosi wanita adalah isu kewangan, isu berkaitan rumah tangga di mana wanita turut dibebankan untuk menjaga anak-anak serta ibu bapa yang tinggal bersama walaupun bekerjaya, persekitaran kediaman, isu suami kurang bertanggungjawab dan banyak lagi. Atas dasar tanggungjawab, wanita rela mengorbankan kebahagiaan diri sendiri untuk menjaga hati orang lain.

Menyayangi diri sendiri bukan bererti mementingkan diri tanpa memikirkan orang lain, tetapi ianya lebih kepada berbuat ihsan, berlaku adil dan hormat terhadap diri. Seringkali wanita mendahulukan kebahagiaan keluarga tanpa menghiraukan diri sendiri. Walhal, kebahagiaan yang utama hanya boleh dikecapi apabila seseorang wanita itu menyayangi diri sendiri dan ianya akan terzahir juga kepada ahli keluarga wanita tersebut. Seseorang wanita yang menyayangi diri sendiri akan sentiasa berusaha untuk membuat sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada diri dan menjauhi perkara yang boleh memudaratkan diri. Wanita yang mempunyai sifat sayang diri yang tinggi mempunyai emosi yang lebih stabil dan mampu berdaya tahan dan bangkit semula dengan cepat apabila berhadapan dengan cabaran dalam hidup.

Berikut adalah beberapa cara bagaimana seorang wanita dapat mempraktikkan sifat sayang diri atau ‘self-love’:

Elakkan membandingkan diri dengan orang lain

Wanita harus percaya bahawa setiap orang mempunyai baik, buruk, kekuatan, kekurangan, dan rezeki masing-masing. Pemikiran yang suka membandingkan diri dengan orang lain, akan menyebabkan timbulnya keraguan terhadap kemampuan diri sendiri dan merasakan seolah-olah diri sendiri tidak cukup sempurna seperti orang lain. Lebih-lebih lagi dalam zaman moden ini yang mana media sosial menjadi sebahagian daripada hidup, masyarakat lebih cenderung untuk membuat perbandingan dengan kehidupan orang lain yang dirasakan lebih bahagia dari mereka. Perlu diingatkan bahawa segala perkongsian di media sosial ini tidak menggambarkan keseluruhan kehidupan sebenar seseorang itu. Tanpa disedari, mereka mungkin juga sedang melalui pahit getir dalam kehidupan. Perbandingan sosial melalui media sosial ini dikhuatiri akan memberi implikasi yang negatif terhadap kesihatan mental. Wanita harus sentiasa ingat bahawa kehidupan di dunia ini bukanlah satu perlumbaan. Jadi, wanita perlulah fokus kepada kehidupan sendiri tanpa membanding bezakan diri dengan keadaan orang lain.

Maafkan diri sendiri

Selain itu, wanita juga perlulah sentiasa memaafkan dan belajar untuk menerima diri seadanya. Elakkan dari berfikiran negatif, mengkritik, atau menyalahkan diri apabila gagal dalam sesuatu perkara. Tiada manusia yang dilahirkan sempurna, dan semua orang pernah melakukan kesilapan dalam hidup ini. Ada kalanya juga, pilihan atau keputusan yang dibuat tidak tepat atau tidak seperti yang diharapkan. Namun hakikatnya, perkara yang sudah lalu tidak dapat diubah. Jadi, andai terdapat kesilapan yang telah dilakukan pada masa lalu, maafkan diri sendiri. Apa yang penting adalah penerimaan diri, belajar dari kesilapan, memperbaiki diri sendiri dan bangkit semula meneruskan kehidupan dengan daya tahan yang lebih tinggi. Wanita mampu menjadi lebih kuat, dewasa dan berhati-hati dalam membuat keputusan di masa akan datang sekiranya berfikiran terbuka dan mempelajari dari kesilapan lepas.

Jauhi persekitaran yang toksik

Persekitaran yang toksik akan membawa aura yang negatif dan mampu mengganggu kesihatan mental seseorang individu. Dalam menjalani kehidupan seharian, wanita mungkin juga akan berhadapan dengan persekitaran mahupun orang yang toksik. Ciri-ciri orang yang toksik ini termasuklah mereka yang suka memandang rendah, suka bersaing, suka mengkritik dan menyalahkan orang, sering bergosip dan bercakap tentang perkara-perkara yang negatif dan sebagainya. Lebih baik cuba sebaik mungkin untuk elakkan diri dari bergaul dengan orang-orang yang toksik. Sekiranya tidak boleh dielakkan,maka adalah penting untuk wanita menetapkan sempadan dan bersikap tegas apabila berhadapan dengan mereka.

Fokuskan kepada perkara yang boleh dikawal

Wanita lebih mudah berasa bimbang dengan perkara yang membabitkan orang lain. Seringkali juga wanita terlalu memikirkan pandangan mahupun tindakan orang lain. Apabila berada di dalam situasi yang mengganggu emosi dan pemikiran terutamanya, wanita yang terlalu memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang berada di luar kuasa dan kawalan lebih cenderung untuk merasakan kehilangan harapan atau upaya. Sebenarnya, terlalu banyak perkara yang tidak mampu untuk dikawal oleh seseorang individu mahupun menentukan keputusannya. Kebimbangan yang melampau kepada perkara-perkara tersebut boleh menggugat kesihatan mental wanita.

Jadi, bermula hari ini, cuba sebaik mungkin lepaskan diri dari memikirkan perkara yang di luar kawalan. Berhenti bazirkan masa dan tenaga kepada perkara yang di luar kawalan. Alihkan fokus terhadap perkara-perkara yang berada dalam pengaruh dan kawalan diri sendiri terutamanya persepsi, emosi, dan tindakan diri sendiri. Wanita yang menumpukan sepenuh perhatian kepada perkara yang boleh dikawal, mampu menyelesaikan masalah dengan lebih efektif.

Memberi penghargaan kepada diri sendiri

Cuba fikirkan, bila kali terakhir anda sebagai wanita memberi penghargaan kepada diri sendiri. Sebenarnya, walau sesibuk manapun adalah menjadi Keperluan dan tanggungjawab untuk raikan diri sendiri walau sekecil-kecil kebaikan yang telah dibuat mahupun pencapaian yang diperoleh. Nampak remeh tetapi banyak menfaatnya. Memberi penghargaan kepada diri sendiri bukan sahaja dapat meningkatkan motivasi diri untuk lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri malah juga dapat membuang pemikiran negatif terhadap diri sendiri. Walau dalam situasi yang sukar, wanita perlu selalu mengingatkan diri sendiri tentang segala nilai positif yang ada dalam diri dan menghargai segala usaha diri dalam mengharungi rintangan.

Kepada semua wanita di luar sana, ayuh tingkatkan sikap menyayangi dan santuni diri sebelum menyayangi orang lain.

Oleh:
Dr. Nursyuhaidah bt Mohd Kadri
Pensyarah Kanan

Dr. Azmawaty Mohamad Nor
Ketua, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling,
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.
Email: azy_mn@um.edu.my