lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir membabitkan kesemua negeri dengan hujan lebat dan angin kencang dijangka berterusan sehingga jam 6 petang, hari ini.
Kawasan yang terbabit ialah seluruh Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka dan Kuala Lumpur.
Selain itu, cuaca buruk turut diramal melanda Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan; Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat di Selangor; Tangkak, Segamat, Muar, Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru di Johor serta Besut, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman di Terengganu.
Dalam pada itu, ribut petir dijangka berlaku di Kuching, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei dan Meradong di Sarawak; serta Sibu, Mukah, pedalaman Beaufort, Pantai Barat Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud dan Kudat di Sabah.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada jam 2.40 petang, MetMalaysia menjelaskan, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
MetMalaysia menasihatkan orang ramai agar berwaspada, terutamanya mereka yang berada di kawasan terbuka atau menjalankan aktiviti luar.
Risiko banjir kilat, pokok tumbang dan gangguan elektrik turut meningkat dalam keadaan cuaca seperti ini.
Pihak berkuasa tempatan digesa untuk memantau kawasan berisiko dan bersedia mengambil tindakan segera sekiranya keadaan bertambah buruk.
Orang awam boleh mengikuti perkembangan cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia atau aplikasi mudah alih MyCuaca untuk maklumat amaran dan ramalan terkini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




