Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat serta angin kencang melibatkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, selain 11 negeri hingga 2 pagi esok.
MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan keadaan cuaca buruk itu dijangka melanda keseluruhan Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Di Kedah, kawasan terjejas meliputi Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu, manakala di Johor membabitkan daerah Segamat.
Amaran sama turut dikeluarkan di Sabah, melibatkan kawasan Pedalaman iaitu Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan dan Keningau.
Sementara itu di Sarawak, kawasan terlibat ialah Sarikei (Julau), Sibu (Kanowit dan Selangau), Kapit (Song dan Kapit), Bintulu (Tatau), Miri (Beluru, Telang Usan dan Marudi) serta Limbang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




