Puerto Ayora, Ecuador: Amaran tsunami dikeluarkan di seluruh kawasan Lingkaran Pasifik ditarik balik pada Rabu, membolehkan jutaan penduduk yang dipindahkan sementara kembali ke kediaman masing-masing.
Langkah berjaga-jaga itu dibuat susulan satu gempa bumi kuat magnitud 8.8 melanda Semenanjung Kamchatka di Timur Jauh Rusia, menyebabkan lebih sedozen negara termasuk Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Ecuador mengeluarkan amaran kepada rakyat supaya menjauhi kawasan pesisir pantai.
Ramalan awal menyatakan kemungkinan berlaku ombak besar setinggi empat meter (m) di beberapa lokasi sekitar Pasifik selepas gempa bumi magnitud 8.8 itu berlaku di luar persisir semenanjung Kamchatka, Rusia.
Antara kawasan yang terjejas ialah Peru yang menutup 65 daripada 121 pelabuhan di sepanjang pantai Pasifiknya dan pihak berkuasa di Maui, Hawaii, turut membatalkan penerbangan masuk serta keluar dari pulau berkenaan.
Namun kebimbangan terhadap bencana besar tidak menjadi kenyataan apabila negara demi negara menarik balik atau menurunkan tahap amaran tsunami dan membenarkan penduduk pulang semula ke rumah masing-masing.
Di Jepun, hampir dua juta juta penduduk diarahkan berpindah ke kawasan tinggi sebelum amaran tsunami ditarik balik.
Loji nuklear Fukushima di timur laut Jepun turut dikosongkan buat sementara waktu sebagai langkah keselamatan.
Bagaimanapun, satu-satunya kematian yang dilaporkan ialah seorang wanita yang memandu kereta dan terbabas jatuh dari tebing ketika cuba melarikan diri di Jepun.
Di Chile pula, lebih 1.4 juta penduduk diarahkan berpindah menjadikan ia antara pemindahan terbesar dalam sejarah negara itu.
Pihak berkuasa Chile bagaimanapun mengesahkan tiada kerosakan serius atau korban jiwa, dengan hanya gelombang setinggi 60 sentimeter direkodkan di pantai utara negara itu.
Di Kepulauan Galapagos, walaupun gelombang setinggi tiga m diramalkan, namun hanya ombak sekitar satu m melanda tanpa sebarang kerosakan dilaporkan.
Penduduk tempatan melaporkan paras laut turun naik secara tiba-tiba, tanda biasa kehadiran tsunami.
“Semuanya sudah tenang, saya kembali bekerja. Restoran sudah dibuka semula dan lokasi pelancongan juga kembali beroperasi,” kata Isabel Grijalva, 38, penduduk Santa Cruz.
Sebelum ini, kerosakan paling teruk dilaporkan berlaku di Severo-Kurilsk, Rusia, apabila tsunami melanda pelabuhan dan menenggelamkan kilang memproses ikan tempatan.
Rakaman televisyen menunjukkan bangunan dan serpihan dihanyutkan ke laut, manakala air melimpah sejauh 400 m dari pantai hingga ke tugu Perang Dunia Kedua.
Letusan gunung berapi Klyuchevskoy turut berlaku sejurus selepas gempa bumi berkenaan.
Gempa itu adalah yang terkuat di Kamchatka sejak 1952 dan turut disusuli puluhan gegaran susulan, termasuk satu bermagnitud 7.5.
Dalam pada itu, Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) menyatakan gempa itu antara 10 gegaran paling kuat direkodkan sejak tahun 1900.
© New Straits Times Press (M) Bhd




