Ambil berat dan teliti setiap maklum balas diberikan AI

Ambil berat dan teliti setiap maklum balas diberikan AI

saufi@mediaprima.com.my

Kecerdasan buatan (AI) kini bukan lagi teknologi eksklusif milik pakar komputer semata-mata.

Ia sudah menjadi alat harian yang digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat daripada penuntut universiti hinggalah kepada profesional korporat bagi menyelesaikan tugasan seharian mereka dengan lebih pantas dan cekap.

Namun, ramai pengguna masih tidak menyedari bahawa kualiti jawapan yang diberikan oleh platform AI seperti ChatGPT, Claude, Gemini dan Copilot bergantung sepenuhnya kepada cara mereka memberikan arahan atau ‘prompt’ kepada sistem berkenaan.

Teknik mengarah AI ini dikenali sebagai kejuruteraan arahan iaitu seni dan sains merangka input yang tepat bagi menghasilkan output yang dikehendaki.

Kemahiran ini berkembang menjadi antara satu amalan penting dalam dunia kecerdasan buatan masa kini kerana ia menentukan sama ada model AI akan memberikan maklum balas yang relevan dan tepat atau sekadar jawapan generik yang tidak berguna.

1. Tetapkan peranan AI terlebih dahulu

Mulakan prompt dengan menetapkan identiti AI, contohnya, ‘Bertindak sebagai pakar ekonomi Malaysia…’.

Ini membantu AI menyesuaikan nada dan kedalaman jawapan.

2. Berikan konteks yang jelas dan khusus

Elakkan arahan yang terlalu umum. Gantikan ‘Ceritakan tentang inflasi’ kepada ‘Jelaskan impak inflasi terhadap harga makanan di Malaysia pada 2024’.

3. Tentukan format output yang dikehendaki

Nyatakan sama ada anda mahukan jawapan dalam bentuk senarai, jadual, perenggan atau laporan. Contoh, ‘Berikan dalam bentuk jadual perbandingan’.

4. Cara prompt data dan statistik

Bagi mendapatkan data atau statistik yang tepat, masukkan data sebenar ke dalam prompt dan minta AI menganalisis serta mentafsirnya.

Contoh arahan, ‘Berdasarkan data berikut (masukkan data), kenal pasti trend utama dan nyatakan peratus peningkatan bagi setiap kategori’.

Pastikan data yang dibekalkan mengandungi nilai numerikal, tarikh atau kategori yang disusun dengan jelas dan teratur supaya AI dapat memproses maklumat dengan lebih tepat.

5. Gunakan teknik ‘chain-of-thought’

Pandu AI secara langkah demi langkah untuk menghasilkan penaakulan yang lebih baik. Contoh, ‘Pertama, senaraikan faktor-faktor. Kemudian, bandingkan pilihan. Akhirnya, berikan satu cadangan terbaik’.

6. Tentukan had masa atau tempoh data

Jika memerlukan maklumat terkini, nyatakan dengan jelas, ‘Gunakan data daripada Januari hingga Disember 2024 sahaja’ bagi mengelakkan AI menggunakan fakta lapuk.

7. Minta sumber atau rujukan

Tambahkan arahan seperti, ‘Nyatakan sumber bagi setiap statistik yang diberikan’ bagi memudahkan semakan fakta sebelum maklumat terbabit digunakan.

8. Gunakan teknik ‘few-shot prompting’

Berikan contoh format atau gaya yang anda mahukan terlebih dahulu sebelum meminta AI menghasilkan kandungan serupa.

Teknik ini memegang 40.3 peratus bahagian pasaran dalam kalangan teknik kejuruteraan arahan kerana kebolehasilannya yang relatif tinggi.

9. Bahagikan tugasan kompleks kepada segmen kecil

Jangan campurkan terlalu banyak permintaan dalam satu prompt.

Pecahkan kepada beberapa sesi tanya jawab yang lebih fokus untuk hasil yang lebih tepat.

10. Semak semula dan halusi jawapan secara berterusan

Jangan terima jawapan pertama sebagai muktamad.

Lakukan penambahbaikan dengan arahan susulan seperti, ‘Tolong ringkaskan lagi’ atau ‘Tambahkan data perbandingan daripada negara jiran’.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top