Pengacaraan potret diri dengan sisi berbeza mengikut rancangan

Pengacaraan potret diri dengan sisi berbeza mengikut rancangan

mohamadridzuan@hmetro.com.my

SIRI 3

FARA Fauzana berasa dirinya adalah hos Melodi paling lama berbanding sangkaannya iaitu Raja Azura. Perkara ini dimaklumkan kepadanya oleh pasukan produksi program hiburan itu.

“Mereka maklumkan sayalah hos yang paling lama bertahan iaitu lapan tahun. Alhamdulillah… selepas Abang Wahid undur diri, saya pernah digandingkan dengan Zizan, Awal Ashaari, AG dan Saiful Apek.

“Semasa dengan Melodi, saya masih bekerja dengan radio Era dan tiada masalah. Pada 2007, saya berpindah ke Hot FM bagi memudahkan urusan sebab bekerja dalam satu bangunan.

“Ketika bersama Hot FM, saya turut mengacarakan rancangan di Astro bernama “Oh Lelaki” bersama dengan Nana Mahazan. Saya juga jadi hos Nona, Muzik-Muzik dan seterusnya, rancangan besar seperti Anugerah Juara Lagu (AJL),” katanya.

Fara berkata, namanya juga mula meningkat naik apabila diberi peluang mengacarakan rancangan Melodi yang mempunyai ramai penonton.

“Saya memang akui Melodi melonjakkan nama saya kepada peminat. Saya pernah cakap, mungkin siapa yang mengacarakan Melodi ini akan menang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

“Selepas itu saya buat program Nona dan menang kategori pengacara. Saya sedar pengacaraan adalah antara platform yang membuatkan kita mampu mempotretkan diri dengan sisi berbeza-beza mengikut rancangan,” katanya.

Menurutnya, walaupun pada mulanya tidak biasa di peringkat awal, malah ada yang melihat kehadirannya agak janggal dalam program itu tetapi ia mampu diatasi dengan baik.

“Kita kena jadi dekat dengan program itu. Contohnya, buat program Nona, walaupun agak kekok awal-awal sebab orang macam skeptikal, kerana terlalu biasa dengan pengacara Nona yang cantik, lemah lembut dan ayu.

“Penerbit (Nona) beritahu ramai yang e-mel tanya kenapa Fara Fauzana? Saya sendiri pertikaikan penerbit, “Kenapa ambil saya? Sebab saya bukan macam itu. Kalau you suruh saya lemah-lembut, saya takkan buat.

“Bukan saya tak reti nak buat, tapi penerbit kata konsep ketika itu adalah mahukan pengacara wanita moden yang agresif, boleh mendaki bukit, bawa jet, agresiflah,” katanya.

Katanya, bermula mengacarakan program Nona seorang diri, Fara kemudian menerima rakan gandingan selain mereka juga menjadi pengacara awal yang memakai tudung.

“Masa awal itu saya mengacarakan seorang diri, kemudian digandingkan dengan Neelofa. Tiga, empat tahun juga dengan Nona bersama Neelofa. Malah, kami berdua juga adalah pengacara Nona yang pertama bertudung.

“Walaupun awalnya penerbit Nona panik bila dua pengacara ini memakai tudung, tapi itulah perubahan dan penonton makin terbuka. Selepas itu rata-rata yang mengacara Nona bertudung,” katanya.

Fara melakukan dua kerja iaitu penyampai radio dan pengacara menjadikan dirinya sangat ‘workaholic’. Malah, dia juga tidak mempunyai ruang untuk beramah mesra dengan media yang menaikkan namanya.

“Saya berhenti sebagai penyampai radio pada 2016. Bila ada masa untuk diri sendiri, saya berjumpalah dengan rakan-rakan wartawan. Semuanya kata saya dulu macam orang yang paling sibuk.

“Sebab nak inteview macam memang susah. Bukan kata susah, saya siap tanya berapa lama inteview sebab lepas ini ada tugas lain. Saya tinggalkan kerja di radio dan kena balik.

“Selepas itu saya nak pergi (studio) Nona. Memang saya nak bagi yang terbaik sebab kalau saya tak perform, program ini tak pergi (diterima). Saya mula jadi penyampai radio pada usia 24 tahun.

“Kemudian baru buat (program) TV dan sepanjang tempoh itu macam-macam anugerah saya berjaya raih. Semua rata-rata pengacaraan dan penyampai radio,” katanya.

Walaupun lama berehat, jiwa dan cinta Fara terhadap dunia radio masih menebal dalam dirinya.

Dia akhirnya membuat keputusan kembali ke Hot FM bergandingan dengan AG, Khairy Jamaluddin (KJ) dan Johan dalam segmen Bekpes Hot FM.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top