razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Sikap mengambil mudah terhadap pemilihan pakaian yang sesuai menjadi antara penyumbang kecederaan serius dalam kalangan penunggang motosikal di negara ini.
Pempengaruh Jabatan Pengangkutan Raya (JPJ) Nazeman Talib berkata, antara kesalahan pemilihan pakaian yang kerap dilakukan adalah memakai seluar pendek dan selipar ketika menunggang motosikal.
“Kebanyakan penunggang motosikal hanya menitikberatkan soal pemakaian yang sesuai ketika proses mendapatkan lesen.
“Selepas mendapat lesen, ramai yang mengenakan pakaian yang tidak selamat seperti memakai seluar pendek dan selipar sahaja ketika menunggang motosikal yang boleh menyebabkan kecederaan serius apabila berlaku kemalangan.
“Sepatutnya (ketika menunggang motosikal), pakaian yang sesuai untuk melindungi beberapa bahagian badan seperti kepala, kaki, siku dan lutut perlu dititikberatkan untuk mengelakkan kecederaan parah apabila terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui dalam program Kempen Keselamatan Jalan Raya ‘Safe Ride Boss’ anjuran Kelab Media Prima (MPC) yang disertai 100 peserta di Balai Berita di sini, semalam.
Sepanjang program, pelbagai pengisian bermanfaat disediakan termasuk perkongsian daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), JPJ dan Cikgu Burn berkenaan Insurans Thailand.
Lebih menarik, peserta turut dibawa melawat studio rangkaian Kumpulan Media Prima Berhad.
Mengulas berkenaan kempen ‘Safe Ride Boss’, beliau melihat program ini dapat membantu kerajaan dan agensi penguatkuasa meningkatkan kesedaran mengenai undang-undang dan keselamatan jalan raya dalam kalangan penunggang dan pembonceng motosikal.
“Penganjuran program anjuran MPC ini sewajarnya diikuti oleh syarikat swasta lain yang perlu bersama-sama mengambil tanggungjawab untuk memberi kesedaran mengenai keselamatan jalan raya sekali gus dapat mengurangkan kemalangan dalam kalangan pekerja mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi MPC Khairuzzaman Mohd berkata, program yang memasuki tahun ketiga itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya membabitkan kakitangan Media Prima dan kelab permotoran.
Katanya, selain itu, program ini menjadi platform kepada pihak berkuasa berinteraksi secara terus dengan penunggang motosikal.
“Pihak berkuasa diberi peluang untuk memberi pemahaman kepada pemilik dan peminat motor mengenai undang-undang jalan raya
“Pada masa sama peserta diberi pendedahan berkenaan penguatkuasaan dan kesan akibat kemalangan kepada diri sendiri, keluarga dan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, melihat sambutan yang memberangsangkan, pihaknya merancang untuk mengembangkan program ini ke negeri lain sempena karnival Jom Heboh.
Dalam pada itu, salah seorang peserta program, Sayang Shazwani Abdul Rahman, 48, dari Southern Ladies Official (SFO) yang ditemui memberi maklum balas positif terhadap program keselamatan yang dianjurkan oleh MPC.
“Program seperti ini amat bagus untuk menambah ilmu baharu berkaitan keselamatan dan undang-undang kepada penunggang dan pembonceng motosikal sekali gus dapat mencegah daripada kemalangan.
“Harapan saya, program ini dapat dijalankan dengan lebih kerap dengan pembabitan lebih ramai peserta,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




