Pemilik syarikat pemborong dan peruncit halal terbesar tempatan, Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) mencuri perhatian apabila memberi kemudahan kepada pempengaruh dan usahawan popular, Khairul Aming untuk mendapatkan stok di premis miliknya.
Sumbangan itu bertujuan untuk membantu mangsa-mangsa banjir.
Menerusi video yang tular di platform TikTok, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, Aming boleh mengambil seberapa banyak stok barangan yang diperlukan tanpa menjelaskan apa-apa bayaran.
Katanya, dia memberi kepercayaan penuh kepada anak muda asal Kelantan itu dalam usaha membantu penduduk yang terjejas akibat banjir.
“Ambil seberapa banyak awak nak dan tak perlu hantar budak atau kad kredit atau apa-apa… cuma beritahu had kredit yang nak RM20,000, RM50,000 atau RM100,000 ke.
“Lepas habis banjir tu awak bayar, tiada masalah. Kita percaya Khairul Aming,” katanya.
Datuk Ameer juga turut memaklumkan, Mydin akan memberikan 5,000 lagi barang sebagai tambahan kepada dalam usaha membantu mangsa banjir sekaligus menyokong penuh usaha murni Aming.
Sebelum ini, Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman memulakan misi membantu mangsa banjir di Kelantan sejak Sabtu lalu.
Aming bersama kakitangannya menyediakan makanan dan barangan keperluan kepada mangsa banjir sebelum mengagihkannya kepada mereka.
Terdahulu, Khairul menegaskan bahawa dia tidak mempunyai permit untuk mengutip sumbangan melalui pemberian nombor akaun dengan tujuan untuk menderma dek kerana takut dengan amanah yang diberikan masyarakat.




