am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Barisan Nasional (BN) yakin dapat melaksanakan lebih 95 peratus janji dalam manifesto yang dilancarkan sekiranya terus diberi mandat untuk mentadbir Kerajaan Negeri Johor.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peratusan itu diyakini dapat dicapai mengambil kira pencapaian 90 peratus janji terlaksana dalam manifesto BN pada PRN 2022.
Katanya juga, manifesto BN bukan janji di atas kerja yang tidak boleh dilaksanakan.
“Ini janji BN untuk lima tahun yang akan datang, yang boleh dilaksanakan Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi (Menteri Besar Johor).
“Kita lihat perbandingan pada lebih 90 peratus yang kita dapat laksanakan pada manifesto yang lalu. Kali ini, walaupun mungkin bukan 100 peratus, tetapi kita yakin akan terlaksana lebih 95 peratus.
“Saya yakin apa yang tercatat semuanya sudah dibuat kajian,” katanya ketika berucap pada Majlis Libat Urus Kepimpinan Bersama Ibu Bapa Tabika Kemas Bangsa Johor di Flat Perumahan Larkin Court 1 di sini, hari ini.
Turut hadir, Onn Hafiz dan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin yang juga penyandang kerusi itu, Mohd Hairi Mad Shah.
Ahmad Zahid berkata, manifesto BN dirangka secara menyeluruh dengan mengambil kira keperluan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum atau latar belakang.
Katanya, manfaat yang ditawarkan merangkumi pelbagai peringkat kehidupan rakyat, bermula daripada ibu mengandung, kanak-kanak, pelajar sekolah, mahasiswa, sehinggalah golongan ibu tunggal dan bapa tunggal.
“Mana sektor, mana kumpulan dan mana golongan yang tidak disantuni dalam manifesto itu? Semuanya diberikan perhatian… disantuni,” katanya.
Ahmad Zahid turut menegaskan kerajaan negeri pimpinan Onn Hafiz mengamalkan konsep Bangsa Johor yang bersifat inklusif serta tidak meminggirkan mana-mana kaum.
Beliau berkata, semua rakyat yang menetap di Johor, termasuk masyarakat Melayu, Cina, India, Orang Asli serta rakyat Sabah dan Sarawak yang bekerja di negeri itu, diberikan perhatian menerusi pelbagai dasar dan inisiatif kerajaan negeri.
“Selagi siapa sahaja tinggal di Johor, mereka dianggap sebagai sebahagian daripada Bangsa Johor dan menerima manfaat yang sama,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Zahid memberi jaminan akan terus membantu pembangunan Johor selagi menerajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




