Ameng Spring akui salah dengan bekas isteri- “Bila hisap dadah, kita akan lupa keluarga dan tanggungjawab”

Ameng Spring akui salah dengan bekas isteri- “Bila hisap dadah, kita akan lupa keluarga dan tanggungjawab”

Penyanyi Ameng Spring mengakui kesilapan lalu apabila terlibat dengan penyalahgunaan dadah sehingga memberi kesan besar terhadap kerjaya seni, keluarga dan kehidupannya sebagai seorang suami serta bapa.

Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 57, berkata penyalahgunaan dadah bukan sahaja merosakkan kerjaya seni, malah turut menjejaskan rezeki dan hubungan kekeluargaan.

“Kesalahan saya adalah kerana terbabit dengan dadah. Bila kita hisap dadah, kita akan lupa pada keluarga dan tanggungjawab,” katanya, baru-baru ini.

Menurutnya, ketika melalui fasa tersebut, bekas isterinya, penerbit Datuk A Aida, pernah menyuarakan pandangan bahawa dirinya tidak mempunyai masa depan.

“Masa itu A Aida juga tak yakin dengan saya dan dia cakap saya tidak ada masa depan. Dia cakap dosa saya pada dia itu sebab dadahlah dan bukan benda lain,” katanya.

Ameng dalam masa sama turut mengakui banyak mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga, khususnya isterinya, Sabariah Zakariah, yang tetap setia melalui pelbagai dugaan termasuk ketika dia dipenjarakan.

“Saya sudah buat banyak salah dan dosa serta mengabaikan keluarga saya terutama isteri, Sabariah Zakariah.
“Saya masih ingat lagi, setiap kali saya bawa balik kawan ke rumah untuk hisap dadah, isteri akan baca surah Yassin di ruang bawah untuk tenangkan dirinya,” katanya.

Menurut Ameng, kesetiaan isterinya tidak ternilai dan menjadi antara perkara yang membuatkan dia insaf terhadap kesilapan lalu.

“Ketika saya dipenjarakan pun, isteri masih lagi setia menunggu tapi kalau orang lain belum tentu lagi. Jadi kalau saya abaikan isteri yang setia sepertinya, saya memang seorang yang jahat,” katanya.

Artikel lain: Ameng Spring dedah jantung bekas isteri terhenti 8 kali – “Doktor suruh baca Yasin..”

Katanya lagi, dia kini tidak mengejar untuk memulihkan hubungan lama, sebaliknya memberi fokus kepada perubahan diri sendiri.

“Saya tak pernah minta benda ini akan pulih tapi saya cuma mahu pulihkan diri sendiri.
“Saya tahu dari situ akan dapat keluarga yang sihat dan harmoni. Bila kita niat nak buat baik, semua benda baik yang akan datang,” katanya.

Terdahulu, A Aida dilaporkan sudah memaafkan segala kesalahan Ameng selepas melihat kesungguhannya membantu persembahan bersama anak mereka, Azeva Natassha di pentas Talk To My Manager musim kedua (TTMM2).

Scroll to Top