Haniff Hamzah Sertai Hot FM, Bergandingan Dengan Fizi Ali Dalam ‘Hot Vibe Club’

Haniff Hamzah Sertai Hot FM, Bergandingan Dengan Fizi Ali Dalam ‘Hot Vibe Club’

Hot FM terus memperkukuhkan pengaruhnya dalam industri radio tempatan apabila memperkenalkan personaliti baharu, Haniff Hamzah sebagai antara wajah terkini stesen tersebut.

Kehadiran Haniff dilihat membawa nafas segar kepada Hot FM menerusi gaya penyampaian yang santai, versatil dan dekat dengan pendengar pelbagai peringkat usia.

Haniff bergandingan bersama Fizi Ali menerusi segmen baharu Hot Vibe Club yang akan bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 3 petang hingga 7 malam.

Menerusi gabungan dua personaliti itu, pendengar dijanjikan dengan pelbagai pengisian hiburan yang lebih segar, interaktif dan dekat dengan kehidupan seharian audiens masa kini.

Menurut Haniff, peluang menyertai Hot FM merupakan antara perkara yang sudah lama diimpikannya sepanjang bergelar penyampai radio.

“Sejak dulu lagi saya memang berharap dapat menjadi sebahagian daripada Hot FM kerana stesen ini mempunyai identiti yang sangat kuat dan dekat dengan pendengar.

“Peralihan daripada Fly FM ke Hot FM juga memberi makna besar kepada saya kerana saya rasa medium radio berbahasa Melayu lebih sesuai dengan personaliti dan cara saya berkomunikasi dengan audiens. Saya dapat jadi lebih natural dan lebih dekat dengan pendengar.

“Saya sangat teruja dapat memulakan perjalanan baharu ini bersama Fizi Ali dan seluruh keluarga Hot FM. Dengan pengalaman yang ada, saya percaya kami mampu memberikan sesuatu yang menarik dan menghiburkan kepada pendengar,” katanya.

Dalam pada itu, Hot FM menyifatkan kemasukan Haniff sebagai sebahagian daripada usaha stesen berkenaan untuk terus berkembang serta kekal relevan dalam landskap penyiaran radio yang semakin kompetitif.

Selain memperkenalkan barisan penyampai dan segmen baharu, Hot FM juga mahu tampil dengan pendekatan yang lebih moden, segar dan berani dalam memenuhi kehendak pendengar masa kini.

Sementara itu, Pengarah Rangkaian Kumpulan, Media Prima Audio, Shah Hayatudin berkata, perubahan tersebut merupakan antara langkah penting untuk memastikan Hot FM terus menjadi pilihan utama pendengar di Malaysia.

“Hot FM sentiasa bergerak ke hadapan untuk memastikan kami kekal relevan dan dekat dengan pendengar. Gandingan Fizi Ali dan Haniff Hamzah menerusi Hot Vibe Club dijangka membawa tenaga baharu kepada siaran petang kami.

“Kami percaya kombinasi personaliti mereka mampu memberikan pengalaman yang lebih menyeronokkan dan menghiburkan buat audiens,” katanya.

Hot FM boleh didengari menerusi frekuensi 97.6FM di Lembah Klang, 88.2FM di Alor Setar dan Pulau Pinang, 104.5FM di Ipoh, 90.1FM di Johor Bahru dan Singapura, 92.4FM di Kuantan, 88.6FM di Kota Bharu, 87.7FM di Kota Kinabalu, 94.3FM di Kuching, 104.3FM di Melaka, 99.5FM di Seremban, 90.5FM di Taiping dan 105.0FM di Kuala Terengganu.

Scroll to Top