Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjunjung kasih atas keprihatinan serta titah yang dizahirkan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pelaksanaan aktiviti ketenteraan di negeri Pahang.
ATM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya sentiasa komited memastikan setiap latihan, eksesais dan operasi ketenteraan dilaksanakan secara terancang, profesional serta bertanggungjawab demi menjaga kepentingan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
Menurut ATM, segala pelaksanaan latihan turut mematuhi sepenuhnya garis panduan, prosedur operasi dan penilaian impak alam sekitar yang ditetapkan pihak berkuasa berkaitan.
“Sebagai institusi pertahanan negara, ATM sentiasa komited memastikan setiap latihan, eksesais dan operasi dilaksanakan secara terancang, profesional dan bertanggungjawab.
“ATM mematuhi sepenuhnya garis panduan, prosedur operasi serta penilaian impak alam sekitar yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya pada Ahad.
Foto arkib: Bernama
ATM turut menjelaskan bahawa langkah mitigasi, pemantauan dan penilaian berterusan sentiasa dilaksanakan bagi meminimumkan kesan terhadap ekosistem semula jadi di kawasan terlibat.
Dalam masa sama, ATM mengiktiraf kepentingan kerjasama strategik bersama kerajaan negeri, agensi penguat kuasa, pakar berkaitan serta komuniti setempat bagi memastikan pelaksanaan latihan berjalan lebih tersusun dan harmoni.
“Sehubungan itu, ATM akan terus memperkukuh mekanisme penyelarasan dan libat urus dengan semua pihak berkepentingan.
“Ia bagi memastikan pelaksanaan latihan ketenteraan dijalankan secara lebih tersusun, selamat, teratur serta berhemah dengan mengambil kira sensitiviti setempat,” ujarnya.
ATM turut menegaskan bahawa latihan ketenteraan merupakan elemen kritikal dalam memastikan kesiapsiagaan, keupayaan operasi dan tahap kompetensi angkatan sentiasa berada pada tahap optimum.
“Latihan ketenteraan amat penting dalam memastikan kesiapsiagaan serta keupayaan operasi angkatan sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Ia juga demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara,” kata ATM lagi.
Pada masa sama, ATM sekali lagi menzahirkan penghargaan dan menjunjung setinggi-tinggi kasih atas titah serta pandangan yang dizahirkan oleh baginda eberhubung perkara tersebut.
Terdahulu, Tengku Hassanal dilaporkan menzahirkan kebimbangan terhadap pelaksanaan latihan ketenteraan di kawasan kepulauan di Pahang yang dikhuatiri boleh menjejaskan ekosistem alam sekitar.
Foto arkib: NSTP/MUHAMMAD DELIMA ATAN
Baginda turut bertitah supaya ATM mendapatkan perkenan Sultan Pahang terlebih dahulu sebelum sebarang latihan ketenteraan dijalankan di negeri berkenaan.
Sumber: Facebook ATM




