Hasrat Tak Kesampaian, Ummi Nazeera Terkilan Tak Sempat Mengarah Jalil Hamid Dalam Telemovie – “Arwah Nama Pertama Terlintas Di Fikiran”

Hasrat Tak Kesampaian, Ummi Nazeera Terkilan Tak Sempat Mengarah Jalil Hamid Dalam Telemovie – “Arwah Nama Pertama Terlintas Di Fikiran”

Pemergian pelakon senior tersohor tanah air, Jalil Hamid, nyata meninggalkan kesan mendalam buat industri seni tempatan.

Turut merasai kehilangan itu ialah aktres berkaliber, Ummi Nazeera, yang meluahkan rasa terkilan apabila hasratnya untuk mengarahkan Allahyarham dalam sebuah telemovie tidak kesampaian.

Menurut Ummi, dia baru sahaja menerima tawaran untuk mengarahkan sebuah naskhah, namun nama Allahyarham antara individu pertama yang terlintas di fikirannya bagi memegang watak sebagai ayah.

“Saya antara peminat tegar Allahyarham. Beberapa minggu lalu, saya menerima tawaran untuk mengarah sebuah telemovie.

“Antara nama pertama yang terlintas di fikiran saya untuk watak ayah ialah Jalil Hamid.

“Namun, disebabkan kekangan jadual, saya tidak dapat memberikan komitmen kepada naskhah tersebut,” katanya menerusi perkongsian di Threads.

Dalam pada itu, pelakon drama popular Risik Pada Hati itu tetap bersyukur kerana pernah diberi peluang berlakon bersama Allahyarham dalam karya bermakna.

Katanya, pengalaman membintangi filem Bisik Pada Langit sebagai anak kepada Allahyarham menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan.

“Saya bersyukur Allah beri peluang untuk saya berlakon sebagai anaknya dalam Bisik Pada Langit beberapa tahun lalu.

“Satu kenangan yang akan saya simpan selamanya,” katanya.

Di akhir perkongsian, Ummi turut menitipkan doa buat Allahyarham agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Terdahulu, anak Allahyarham, Afiqah Jalil, mengesahkan bapanya telah meninggal dunia ketika berada di rumah.

Artikel Berkaitan: Jalil Hamid Meninggal Dunia

Scroll to Top